UPM Anjur SSIK Siri Kelima 2024, Bincang Isu Komuniti Masa Kini

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk TS. Mustapha Sakmud telah hadir ke perasmian program penutup Seminar Serantau Isu Komuniti Siri Kelima (SSIK) 2024 Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini petang tadi.
Program anjuran Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), UPM ini bagi membincangkan isu komuniti masa kini dan selaras dengan itu, beberapa buah buku telah dilancarkan iaitu Isu-Isu Semasa Belia Malaysia dan Dinamika Sektor Pelancongan di Malaysia oleh Penyelidik IPSAS, Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman; Memoir Rimbunan Cinta Bonda oleh Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM, Prof. Madya Dr. Kamariah Kamarudin dan Malaysians’ Responses to Emotion-Eleciting News oleh Pemikir IPSAS, UPM, Prof. Madya Dr. Moniza Waheed.
Seminar itu dijalankan sebagai platform bagi mengeratkan kerjasama dalam menjalankan kajian dan jaringan di peringkat kebangsaan atau antarabangsa berkaitan aspek pembangunan komuniti, serta penerbitan buku mengenai topik tersebut.
Pada siri ini, IPSAS, UPM telah bekerjasama dengan universiti di luar negara antaranya Indonesia dan Thailand yang terdiri daripada Universitas Teuku Umar (UTU), Universitas Halu Oleo (UHO), Universitas Abulyatama (UNAYA), Walailak University. Rakan kolaborasi turut bersama adalah daripada Universiti Islam Selangor (UIS).
Dalam pada itu, SSIK 2024 turut memfokuskan kepada pembangunan komuniti melalui Society 5.0 dalam konteks keterjaminan makanan.
Inisiatif keterjaminan makanan di UPM merujuk kepada usaha yang diambil oleh universiti untuk memastikan ketersediaan, akses, penggunaan, dan kestabilan makanan yang mencukupi dan berkualiti untuk semua.
Ini selaras dengan misi UPM sebagai institusi pendidikan tinggi yang memberi penekanan terhadap pembangunan pertanian, inovasi, dan penyelidikan dalam bidang makanan.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1578