Kerjasama Strategik KPT Dan Industri Melalui INDex POLYCC 2024, Perkasa TVET Kebangsaan

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah melaksanakan penganjuran Program Industri Nexus POLYCC 2024 (INDex POLYCC 2024) yang telah disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir di Politeknik Ungku Omar (PUO) pagi tadi.
INDex POLYCC 2024 merupakan platform strategik bagi KPT dan JPPKK untuk berinteraksi secara langsung dengan kesemua 20 ahli Majlis Penasihat Industri Politeknik yang dilantik dalam kalangan pemain industri tempatan.
Walhasil, para pensyarah serta pelajar politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) secara berterusan akan menerima manfaat melalui penawaran program yang mengikut keperluan industri; latihan industri yang berstruktur dan terkini; sekali gus berupaya meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Pada majlis itu, seramai 45 pemain industri telah menerima Watikah Pelantikan CEO@POLYCC diikuti oleh sesi pertukaran 15 Memorandum Persefahaman (MoU) antara JPPKK dan industri.
Di samping itu juga, pihak Yayasan Telekom Malaysia (YTM) turut menyerahkan sumbangan bernilai RM3.5 juta kepada JPPKK melalui pelancaran TM TVET Madani @ POLYCC sebagai usaha memantapkan lagi sinergi dan kolaborasi antara YTM dengan JPPKK dalam memartabatkan institusi TVET kebangsaan.
Sumbangan tersebut akan diperuntuk untuk melaksanakan aktiviti penyediaan kemudahan pembelajaran mengikuti spesifikasi industri serta latihan dan pensijilan profesional menerusi bidang fokus seperti ‘cybersecurity’, ‘cloud computing’, fiber dan ‘software testing’, selaras fokus KPT iaitu Penyediaan Bakat Terbaik Negara, juga Pelaksanaan Pendekatan Baharu Program Pemindahan dan Perkongsian Ilmu.
Sementara di PUO juga, YB Menteri Pendidikan Tinggi telah turut melakukan lawatan singkat ke ‘Center of Technology’ in ‘Marine Engineering’ (CTME) dan Yayasan TM Digital Lab.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa penganjuran INDex POLYCC 2024 ini bukan sahaja menjadi wadah bagi memperkukuhkan hubungan strategik antara Politeknik dan pihak industri, tetapi juga menjadi bukti komitmen KPT dalam memperkasa bidang TVET di Malaysia.
Tambahnya lagi, melalui kolaborasi erat ini, INDex POLYCC 2024 diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang untuk pembangunan kurikulum yang relevan dengan keperluan industri, sekaligus memastikan graduan POLYCC lebih bersedia untuk menghadapi cabaran dunia pekerjaan.
Hadir sama Ketua Setiausaha KPT, Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; TImbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; serta Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dato' Dr. Haji Mohd Zahari Ismail.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 2387