Turkmenistan Dan KPT Bincang Hala Tuju Bagi Perluas Kerjasama Dalam Bidang Pendidikan Tinggi

Turkmenistan Dan KPT Bincang Hala Tuju Bagi Perluas Kerjasama Dalam Bidang Pendidikan Tinggi

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud pada petang ini telah menerima kunjungan hormat daripada PYT Bayramgul Orazdurdyyeva berserta delegasi Turkmenistan yang terdiri daripada lima (5) rektor Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Turkmenistan.

Kunjungan ini merupakan salah satu agenda sampingan bersempena lawatan rasmi presiden Turkmenistan ke Malaysia.

Kedua-dua pihak telah bertukar-tukar pandangan untuk bekerjasama dalam bidang pendidikan tinggi dan antara perkara yang dibincangkan adalah langkah-langkah yang boleh diambil bagi menarik minat dan meningkatkan jumlah kemasukan pelajar-pelajar daripada Turkmenistan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di Malaysia.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersedia menjalinkan kerjasama dengan Turkmenistan melalui mobiliti pelajar, pertukaran ahli akademik, kerjasama industri dan pelbagai lagi.

Sesi kunjungan hormat ini juga diteruskan dengan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Universiti Malaya (UM), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Sunway University bersama lima (5) IPT Turkmenistan sebagai permulaan kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi.

MoU ini juga akan membuka peluang untuk memperkukuhkan hubungan akademik dan mempertingkatkan kerjasama dalam bidang seperti penyelidikan, pertukaran akademik dan pembinaan kapasiti terutamanya dalam tenaga, kejuruteraan, seni bina, ekonomi dan kemanusiaan.

Ia turut mencerminkan komitmen KPT untuk memupuk perkongsian bagi mengukuhkan lagi sektor pendidikan tinggi Malaysia dalam persada pendidikan global.

Kunjungan hormat ini turut disertai oleh Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini bin Ujang; Timbalan Ketua Setiausaha Dasar, KPT; YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany bin Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Profesor Dr. Azlinda binti Azman; Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa KPT, YBhg. Datin Noorazah bin Omar; Naib Canselor Universiti Malaya (UM), YBhg. Dato' Seri Profesor Ir. Dr. Noor Azuan bin Abu Osman; Naib Canselor Universiti Tenaga Nasional UNITEN, YBrs. Profesor Ir. Dr. Khairul Salleh bin Mohamed Sahari; dan Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Education, YBhg. Datuk Elizabeth Lee. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 358
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 17 Februari 2025, 02:50:23.

logo-sirim