Transformasi POLYCC: KPT Sasar 10 Politeknik Premier Tawar Ijazah Sarjana Muda Menjelang 2027

Transformasi POLYCC: KPT Sasar 10 Politeknik Premier Tawar Ijazah Sarjana Muda Menjelang 2027

11 Februari 2026 | Kuala Lumpur

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini giat memacu transformasi ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara dengan mengangkat martabat Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) sebagai pilihan utama pendidikan tinggi.

​Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata dalam program Sesi Libat Urus Menteri Pendidikan Tinggi bersama Pengarah-Pengarah Politeknik di sini semalam, usaha tersebut melibatkan perubahan struktural dan perundangan komprehensif, termasuk meneliti penggubalan Akta Politeknik baharu.

​Langkah strategik tersebut bakal memberikan autonomi kepada politeknik untuk menawarkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana, dan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang berkemahiran tinggi seperti kecerdasan buatan (AI) serta semikonduktor.

​Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah turut membentangkan 'Grand Design PolyCC' yang menggariskan 13 iltizam strategik, termasuk sasaran menaik taraf 10 buah politeknik kepada status Politeknik Premier menjelang tahun 2027.

​Lima (5) politeknik sedia ada telah berstatus premier manakala lima (5) lagi, sedang dalam proses penarafan bagi membolehkan penawaran program ijazah setanding universiti teknikal antarabangsa seperti di Jerman dan Switzerland.

​Menyentuh aspek kolaborasi industri, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry menyarankan agar Politeknik Balik Pulau diperkasa peranannya sebagai hab sokongan kepada ekosistem industri semikonduktor negara di Pulau Pinang.

​Dalam memastikan kebajikan pelajar terbela, beliau mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM15 juta bagi program 'Dapur Siswa' serta komitmen berterusan untuk membaiki infrastruktur usang di kampus.

​JPPKK menyasarkan untuk melahirkan jumlah terkumpul satu juta graduan menjelang tahun 2027, selain Politeknik Ungku Omar (PUO) dijadualkan mula menawarkan program Sarjana Teknologi pada tahun hadapan.

YB ​Menteri turut menyeru seluruh warga Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) untuk menghayati semangat 'wahdatul fikr' atau kesatuan pemikiran dalam melaksanakan agenda nasional ini sebagai satu pasukan yang utuh.

​Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Azlinda Azman; Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Dato' Mohd Shatar Sabran; serta Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global Services (EMGS), Novie Tajuddin. 

  • Last updated on .
  • Hits: 46
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Selasa 24 Februari 2026, 07:06:01.

logo-sirim