Sidang Akademia Penyelidikan MTUN Perkukuh Sinergi Akademia-Industri, Pacu Negara Berpacukan Inovasi

11 Februari 2026 | Putrajaya
Sidang Akademia Penyelidikan Malaysian Technical University Network (MTUN) Bersama Industri 2026 yang berlangsung di Putrajaya pagi tadi menjadi platform strategik dalam memperkukuh kerjasama antara institusi pendidikan tinggi teknikal dan industri bagi menyokong aspirasi negara berpendapatan tinggi berpacukan inovasi.
Program anjuran Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan kerjasama MTUN ini telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, sekali gus menzahirkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh ekosistem pendidikan teknikal dan vokasional negara.
Menurut beliau, perubahan pesat dalam struktur ekonomi global menuntut sistem pendidikan tinggi negara beralih daripada model tradisional berteraskan kampus semata-mata kepada pendekatan lebih fleksibel, inklusif dan berorientasikan industri.
Universiti teknikal, jelas beliau, perlu memainkan peranan strategik dalam menyokong pembangunan negara melalui penghasilan tenaga kerja mahir dan bersedia menghadapi keperluan industri masa hadapan, khususnya dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi, automasi, teknologi hijau dan sistem digital.
Tambah beliau, MTUN yang kini merangkumi empat universiti teknikal utama iaitu UTeM, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Universiti Teknologi Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), serta penambahan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) sebagai ahli baharu, berperanan melahirkan graduan berteraskan applied knowledge yang bersifat praktikal, kompeten secara teknikal dan bersedia memasuki sektor industri dengan keperluan latihan semula yang minimum.
Dalam sidang medianya jua, YB Menteri memaklumkan bahawa kerjasama universiti dan industri merupakan antara agenda utama Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 yang turut melibatkan usaha menaik taraf 10 politeknik kepada Politeknik Premier yang berupaya menawarkan program pengajian sehingga peringkat ijazah bagi memenuhi keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi negara.
Majlis berkenaan turut menyaksikan pertukaran 27 dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian antara MTUN dan rakan industri, selain penyerahan sumbangan endowmen industri berjumlah RM51.86 juta kepada UTeM serta RM50,000 kepada UTHM.
Secara keseluruhan, lebih RM51 juta dana penyelidikan disalurkan oleh industri kepada universiti, sekali gus mencerminkan keyakinan sektor industri terhadap keupayaan institusi pendidikan tinggi negara dalam memacu penyelidikan berimpak tinggi serta menyokong agenda pembangunan pendidikan tinggi negara.
Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Dato’ Dr. Husaini Omar; Naib Canselor UTeM merangkap Pengerusi Jawatankuasa MTUN, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin; Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli; serta wakil industri.
- Last updated on .
- Hits: 48
