Tokoh Ekonomi Dan Pemenang Hadiah Nobel, Prof. Mohammad Yunus Terima Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah UKM

Tokoh Ekonomi Dan Pemenang Hadiah Nobel, Prof. Mohammad Yunus Terima Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah UKM

Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir selaku Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkenan berangkat ke Majlis Konvokesyen Khas bagi penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Perniagaan Sosial kepada Ketua Penasihat Kerajaan Republik Rakyat Bangladesh, Prof. Muhammad Yunus di sini pagi tadi.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir turut hadir bagi mengiringi keberangkatan baginda bersama DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud; Pro-Canselor UKM, YAM Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz; dan YAM Tunku Zain Al-‘Abidin Ibni Tuanku Muhriz.

Penganugerahan tersebut diberikan sebagai mengiktiraf dedikasi luar biasa Prof. Muhammad Yunus dalam memajukan pembangunan sosial serta sumbangan besar beliau yang membawa perubahan kepada Republik Rakyat Bangladesh di samping memberi inspirasi kepada komuniti akademia dan masyarakat antarabangsa.

Prof. Muhammad Yunus merupakan pengasas Grameen Bank dan pelopor konsep mikrokredit serta perniagaan sosial yang diiktiraf dunia sehingga beliau dianugerahkan Hadiah Keamanan Nobel pada tahun 2006.

Hubungan beliau dengan UKM turut diperkukuh melalui penubuhan Yunus Centre for Social Business di universiti tersebut yang berperanan mempromosi perniagaan sosial di Malaysia dan rantau ini.

Sepanjang kerjayanya, beliau telah menerima 67 Ijazah Kehormat daripada universiti di 26 negara, muncul di muka depan majalah antarabangsa seperti TIME, Newsweek dan Forbes serta dinamakan oleh Majalah Fortune sebagai salah seorang usahawan terhebat sepanjang zaman pada tahun 2012.

Beliau turut menulis buku-buku terlaris seperti Banker to the Poor dan Building Social Business yang menjadi rujukan utama dalam bidang pembangunan sosial.

Pada tahun 2024, beliau dilantik sebagai Ketua Penasihat Kerajaan Republik Rakyat Bangladesh bagi memimpin reformasi institusi, demokrasi dan ekonomi negara tersebut.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Pro-Canselor UKM Tan Sri Datuk Rafiah Salim; Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak; serta Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Sufian Jusoh. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 581
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 September 2025, 04:30:59.

logo-sirim