Sultan Pahang Sempurna Pemasyhuran Dewan Tuanku Canselor UMPSA

21 Oktober 2026 | Pekan, Pahang
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat menyempurnakan pemasyhuran Dewan Tuanku Canselor (DTC) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang melambangkan pencapaian penting dalam pembangunan prasarana dan kecemerlangan akademik universiti itu.
Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku Canselor UMPSA diiringi Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir yang turut menyampaikan watikah pelantikan semula Kebawah Duli Paduka Baginda sebagai Canselor UMPSA.
Pemasyhuran DTC mencerminkan aspirasi UMPSA untuk melahirkan graduan berkualiti tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri, dengan reka bentuk seni binanya diinspirasikan daripada Wau Pungguk yang melambangkan keseimbangan antara kecemerlangan global dengan pemeliharaan nilai, budaya dan jati diri tempatan.
Majlis turut menyaksikan sumbangan RM1 juta kepada Tabung Endowmen Tuanku Canselor daripada Maybank Islamic sebanyak RM200,000, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang sebanyak RM300,000 serta Lembaga Tabung Haji sebanyak RM500,000, manakala DTC dijangka menjadi lokasi penting bagi meraikan kejayaan warga universiti termasuk 3,345 bakal graduan pada majlis konvokesyen akan datang.
Turut hadir Timbalan Menteri Ekonomi, YB Dato’ Sri Mohd Shahar Abdullah; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Pro-Canselor UMPSA, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asaari Mohamed Nor; Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar; serta Naib Canselor UMPSA, Prof. Ts. Dr. Yatimah Alias.
- Last updated on .
- Hits: 14
