KARISMA PRO Jabatan, Agensi dan UA KPT 2026 Bentuk Penggerak Komunikasi Utama Pendidikan Tinggi

KARISMA PRO Jabatan, Agensi dan UA KPT 2026 Bentuk Penggerak Komunikasi Utama Pendidikan Tinggi

21 Oktober 2026 | Kuala Lumpur

Keupayaan pegawai perhubungan awam mengurus komunikasi secara strategik, membina pengaruh dan menangani krisis menjadi fokus Program KARISMA Pegawai Perhubungan Awam (PRO) Jabatan, Agensi dan Universiti Awam di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Tahun 2026 yang berlangsung selama tiga (3) hari mulai 18 Oktober 2026 di UTM Hotel & Residence di sini.

Program yang menghimpunkan pegawai perhubungan awam daripada jabatan, agensi dan universiti awam itu bertujuan membangunkan penggerak komunikasi utama (key communicators) yang berupaya menterjemah dasar, menyampaikan mesej kepimpinan dan membina kefahaman masyarakat terhadap agenda pendidikan tinggi.

Pengisian program merangkumi tema pengurusan dan pemahaman terhadap keperluan seorang ketua, komunikasi untuk membina pengaruh serta pengurusan krisis melalui pemahaman terhadap kempen propaganda dan pembentukan persepsi, selaras dengan keperluan pegawai komunikasi mendepani perubahan landskap media dan penyebaran maklumat digital.

Dalam sesi ramah mesra bersama Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, beliau menekankan bahawa kenyataan akhbar semata-mata tidak lagi memadai untuk menangani krisis, sebaliknya pegawai komunikasi perlu memanfaatkan pendekatan penyampaian yang lebih berkesan dan bertindak pantas bagi mengekang penyebaran maklumat palsu.

Beliau turut mengingatkan bahawa “apabila kebenaran itu tidak disusun dengan baik, akan dikalahkan oleh kepalsuan yang disusun dengan baik”, sekali gus menegaskan kepentingan penyampaian fakta secara tersusun, profesional dan tepat pada masanya.

Selain sesi perkongsian ilmu dan interaksi bersama kepimpinan kementerian, KARISMA 2026 turut menyediakan ruang untuk mengeratkan jaringan profesional melalui pertemuan dan aktiviti bersama peserta, termasuk jamuan makan malam serta perlawanan boling persahabatan yang menggalakkan hubungan lebih erat dalam kalangan pegawai komunikasi merentas jabatan, agensi dan universiti awam.

Dalam pada itu, lawatan ke Balai Berita Media Prima yang diketuai oleh Setiausaha Akhbar Menteri Pendidikan Tinggi, YBrs. En. Norazli Md Daud, turut menjadi agenda program bagi memberikan pendedahan kepada peserta tentang operasi media serta memperluas pemahaman terhadap hubungan kerja antara organisasi pendidikan tinggi dengan pengamal media.

Gabungan pengisian ilmu, interaksi kepimpinan, jaringan profesional dan pendedahan industri media menjadikan program tersebut sebagai ruang pembangunan profesional yang menyeluruh bagi meningkatkan kesiapsiagaan pegawai perhubungan awam dalam mengurus komunikasi, menangani isu dan menjaga kredibiliti Institusi Pendidikan Tinggi.

  • Last updated on .
  • Hits: 44
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 21 Oktober 2026, 12:51:08.

logo-sirim