Sukarelawan IPT Pupuk Semangat Perpaduan
YBhg. Dato' Seri Abdul Razak Jaafar, Ketua Setiausaha KPT telah menyempurnakan perasmian Hari Kesukarelawanan Kebangsaan Institut Pengajian Tinggi (HKKIPT) 2022 di Dewan Za'ba pagi tadi.
Tema "Perpaduan melalui Kesukarelawanan" telah dipilih tahun ini sebagai mencerminkan aspirasi KPT dalam membangunkan mahasiswa dan cendekiawan yang holistik dan seimbang yang sentiasa bermotivasi untuk melibatkan diri dalam aktiviti kebaikan sejagat.
Majlis anjuran kerjasama Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) , Majlis Sukarelawan Universiti-Universiti Malaysia (MASKUM), Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia (YKS) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tersebut turut dihadiri para naib canselor UA serta para pemimpin sukarelawan IPT dari seluruh negara.
Sebagai pelapis pemimpin baharu, mereka akan menjadi tauladan kepada masyarakat dengan menunjukkan sisi mulia dalam membudayakan sikap keprihatinan, bertanggungjawab dan empati terhadap isu kemanusiaan domestik dan global.
Penubuhan Briged Sukarelawan IPT #KPTPrihatin juga bukti KPT melalui MASKUM agar lebih berstruktur dalam membentuk kesiapsiagaan terbaik sekiranya khidmat mereka diperlukan pada bila-bila masa.
Dalam masa yang sama, YBhg. Dato' Seri KSU turut mengumumkan pewujudan Jawatankuasa Pengurusan Banjir KPT yang telah digerakkan November lalu sebagai persediaan strategik jentera sukarelawan kementerian menangani kemungkinan bencana akibat kehadiran musim Monsun Timur Laut.
Di majlis tersebut juga, beliau telah turut menyampaikan anugerah khas kesukarelawanan kepada wakil-wakil IPT serta melancarkan Buku Panduan Program Kesukarelawanan.
Turut hadir YBhg. Datuk Dr. Mohd. Zabri Yusoff, TKSU (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, YBhg. Prof. Dato' Dr. Husaini Omar, KPPT, YBhg Prof. Dato' Dr. Zaliman Sauli, Naib Canselor UniMAP, Puan Noranyza Mohamad Yusof, Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar JPPKK, dan Encik Wong Kin Lun, Ketua Pegawai Eksekutif YSS.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 6411