Semua Pihak Diseru Bersama KPT Martabatkan Bahasa Kebangsaan
Semua pihak merangkumi segenap lapisan rakyat diseru untuk bersama-sama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), ahli akademik dan pencinta bahasa dalam memperjuangkan martabat Bahasa Kebangsaan.
Menurut Ketua Setiausaha (KSU) KPT, YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, YAB Perdana Menteri turut menegaskan bahawa tiada kompromi mengenai soal penggunaan Bahasa Kebangsaan, terutamanya dalam pendidikan tinggi.
Bercakap ketika merasmikan Bengkel Pelaporan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) 2023 – 2030 (PTMBM 2023-2030) di ibu negara malam tadi, beliau turut mengingatkan akan peri pentingnya penguasaan bahasa yang baik.
Ujar beliau, rakyat Malaysia selalu dipandang tinggi oleh rakyat negara luar kerana kemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa dek kemajmukan kaum dan tahap pendidikan rakyatnya.
"Orang yang lebih berbahasa akalnya sentiasa berfikir lebih daripada kebiasaan, dia akan berfikiran empat (4) bahasa apabila dia cuba meluahkan sesuatu.
Maka akalnya lebih banyak digunakan berbanding orang yang menggunakan satu (1) bahasa sahaja", ujar beliau.
Justeru, beliau turut menyarankan agar penguasaan bahasa yang baik dengan kosa kata yang pelbagai waima apa jua bahasa pertuturan, perlu lebih kerap diamalkan dalam kehidupan sehari-hari.
Bengkel dua (2) hari bermula pagi tadi telah dikelolakan oleh Unit Pemerkasaan Bahasa Melayu, Bahagian Perancangan Strategik, KPT yang merupakan susulan kepada pelancaran pelan tersebut pada tahun lalu.
Objektif bengkel tersebut adalah untuk memberi kefahaman berkenaan pelaksanaan dan pelaporan PTMBM 2023 – 2030 kepada pegawai fokal yang dilantik dari 20 Universiti Awam, tujuh (7) Politeknik dan lapan ( Kolej Komuniti yang terpilih.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 818