Semangat Keharmonian Mahasiswa: Kunci Menjamin Keutuhan Negara Bangsa

Program Iftar Mahabbah bersama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud melibatkan hampir seramai 200 orang mahasiswa dari Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) di Lembah Klang.
Majlis ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan mahasiswa Sabah yang melanjutkan pengajian di IPT, Semenanjung, Malaysia dan selain itu memberi peluang untuk berbuka puasa bersama-sama dalam bulan yang penuh keberkatan ini.
YB Datuk Ts Mustapha Sakmud, dalam ucapannya menyuntik semangat keharmonian yang perlu dikekalkan dalam kalangan mahasiswa. Semangat keharmonian ini amat penting di kalangan mahasiswa dalam mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dan saling menghormati dengan kepelbagaian kaum serta budaya yang ada di Sabah.
Menurut beliau, dalam suasana pendidikan, mahasiswa perlu mencari titik persamaan di antara pelajar dan memahami serta menghargai perbezaan satu sama lain serta menjadi agen menyebarluas kepelbagaian budaya yang ada melalui aktiviti dan program interaksi sosial di IPT. Hal yang demikian dapat mengukuhkan lagi semangat perpaduan dan keharmonian sekaligus memupuk identiti bersama sebagai rakyat Sabah yang penuh dengan kasih sayang dan harmoni.
Pada majlis yang sama, YB Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi turut mengambil kesempatan menyampaikan sumbangan kepada para mahasiswa IPT yang hadir.
Turut hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Perkasa Siswa, Encik Hirman Awang @Semail.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 410