Sambutan Hari Kebangsaan 2026: KPT dan KPM Jayakan Perbarisan, Perarakan Kontinjen Kesejahteraan Pendidikan

31 Ogos 2026 | Putrajaya
Sambutan Hari Kebangsaan 2026 yang berlangsung siang tadi disambut meriah dengan lebih 100,000 pengunjung membanjiri Dataran Putrajaya bagi meraikan semangat kemerdekaan negara.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut tidak ketinggalan menyemarakkan suasana menerusi penyertaan Kontinjen Kesejahteraan Pendidikan dan perarakan kereta berhias khas bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Kehadiran barisan kontinjen yang melepasi pentas utama disambut penuh bangga oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir bersama Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim.
Kedua-dua mereka berkesempatan melambai tangan bagi memberi sokongan padu serta menyemarakkan semangat para peserta perbarisan yang terdiri daripada pelajar sekolah, mahasiswa IPT serta warga pendidik.
Penyertaan yang mengetengahkan tema "Pendidikan Inklusif, Kesejahteraan Dinikmati" ini membariskan seramai 100 orang pelajar dan warga pelbagai peringkat pendidikan.
Perbarisan tersebut diketuai oleh Saudara Mohamad Fardeen Khan bin Hj Newaz Khan, Yang Dipertua Majlis Perundingan Pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang juga merangkap wakil Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan (MPPK).
Perarakan berkenaan tampil lebih menarik dengan iringan Kereta Berhias Kesejahteraan Pendidikan yang mengaplikasikan konsep Bilik Kelas dan Keterangkuman bersama penglibatan 15 orang peserta.
Kenderaan berhias tersebut membawa mesej penting melalui pameran replika Buku Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 sebagai rujukan hala tuju strategik pembangunan pendidikan negara bagi tempoh 10 tahun akan datang.
Penyertaan bersepadu ini menzahirkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pendidikan berkualiti dan inklusif sentiasa merentasi segenap lapisan masyarakat demi kesejahteraan negara.
Selamat Hari Kebangsaan 2026!
- Last updated on .
- Hits: 352
