KSU KPT Saksi Kebangkitan UPSI Rangkul Emas Sulung Ragbi 7s SUKIPT 2026

KSU KPT Saksi Kebangkitan Upsi Rangkul Emas Sulung Ragbi 7s SUKIPT 2026

1 September 2026 | Kuala Lumpur

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencipta kejutan apabila bangkit daripada ketinggalan 0-12 untuk menewaskan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 17-12 dalam perlawanan akhir ragbi 7s lelaki Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 di Universiti Malaya (UM), di sini semalam.

Kemenangan dramatik itu membolehkan UPSI muncul juara baharu sekali gus meraih pingat emas pertama mereka dalam acara ragbi 7s lelaki pada pentas SUKIPT, manakala UKM membawa pulang pingat perak.

Aksi final berkenaan turut disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim yang kemudian menyampaikan pingat kepada para pemenang acara berkenaan.

YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim, yang merupakan juga bekas pemain ragbi, menyaksikan sendiri kebangkitan UPSI pada separuh masa kedua apabila pasukan itu menghasilkan 17 mata untuk mengatasi defisit 12 mata.

Dalam penentuan tempat ketiga kategori lelaki, Universiti Putra Malaysia (UPM) meraih pingat gangsa selepas menewaskan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Bagi kategori wanita pula, UiTM muncul juara selepas menewaskan Politeknik Malaysia 14-5, manakala UPSI turut melengkapkan kejayaan dalam acara ragbi 7s dengan membawa pulang pingat gangsa.

Turut hadir mengiringi Ketua Setiausaha KPT ialah Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Fazidah Mustafa.

SUKIPT 2026 yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September menghimpunkan 64 kontinjen membabitkan 8,244 orang atlet daripada Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta serta politeknik dan kolej komuniti.

Sebanyak 30 jenis sukan dipertandingkan pada edisi ketujuh temasya itu dengan 251 pingat emas menjadi rebutan sepanjang kejohanan.

Selain menjadi medan persaingan antara atlet mahasiswa, SUKIPT 2026 turut menjadi platform KPT mengenal pasti bakat sukan berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi termasuk mewakili negara dalam kejohanan antarabangsa.

  • Last updated on .
  • Hits: 382
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 10 September 2026, 09:59:34.

logo-sirim