#RakanKPT Jadi Agen Komunikasi Strategik KPT, Bantu Sebar Luas Agenda Pendidikan Tinggi

30 Julai 2026 | Putrajaya
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memperkukuh peranan komunikasi strategik menerusi penganjuran Bengkel Pemantapan #RakanKPT Siri 1 Tahun 2026 yang telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha (KSU) KPT, YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim pagi tadi. Bengkel yang dianjurkan oleh Unit Komunikasi Korporat KPT ini telah berjaya menghimpunkan Pegawai Penyelaras Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan #RakanKPT dari seluruh negara.
Seramai 50 individu telah dilantik sebagai #RakanKPT bagi sesi 2026/2027, melibatkan dua wakil daripada setiap Universiti Awam serta 10 wakil daripada Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK). Pelantikan ini merangkumi pelbagai latar belakang termasuk pelajar, alumni dan akademia IPT yang mempunyai pengaruh serta capaian tinggi di platform media sosial, sekali gus berperanan sebagai agen komunikasi strategik Kementerian.
YBhg. Datuk Ts. Dr. KSU dalam ucapan perasmian, antaranya beliau menegaskan bahawa dalam era penyebaran maklumat yang pantas, peranan #RakanKPT amat signifikan dalam membantu menyampaikan dasar, inisiatif serta maklumat rasmi Kementerian secara tepat, di samping menangani isu berbangkit berlandaskan fakta yang sahih.
Bengkel pengenalan dan pelaksanaan #RakanKPT ini telah disampaikan oleh Ketua Komunikasi Korporat KPT, Encik Mohamad Hafizi Rosli, merupakan sebahagian daripada usaha menyokong pelaksanaan Hala Tuju Pendidikan Tinggi 2026, khususnya di bawah Fokus Ke-7 iaitu Infrastruktur, Digital dan Kesejahteraan Kampus.
Sepanjang bengkel, para peserta dibekalkan dengan kit komunikasi standard berserta garis panduan yang jelas bagi memastikan penyampaian maklumat yang lebih tersusun dan berkesan. Langkah ini diyakini mampu meningkatkan keterlihatan institusi, mempercepat penyampaian maklumat kepada masyarakat serta mengukuhkan jaringan komuniti pendidikan tinggi secara menyeluruh.
KPT turut berharap agar semua #RakanKPT dapat memanfaatkan platform ini untuk memperluas jaringan kerjasama antara warga kerja, pelajar dan alumni. Kementerian juga yakin melalui sinergi yang kukuh, #RakanKPT berupaya membentuk satu rangkaian komunikasi pendidikan tinggi yang berimpak tinggi, sekali gus menyokong usaha memperkasakan penyampaian maklumat kementerian kepada masyarakat.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Governan dan Pembangunan), Ts. Dr. Noraisah binti Spahat; Penasihat Undang-undang KPT, Puan Fatin binti Khazin dan pegawai-pegawai kanan KPT.
- Last updated on .
- Hits: 40
