Mesyuarat CDO KPT Selaras Hala Tuju AI Education Hub

Mesyuarat CDO KPT Selaras Hala Tuju AI Education Hub

31 Julai 2026 | Kuala Lumpur

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) merangkap Ketua Pegawai Digital (CDO) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan telah mempengerusikan Mesyuarat Ketua Pegawai Digital (CDO) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Bilangan 1 Tahun 2026 yang berlangsung di Universiti Malaya secara fizikal serta dalam talian semalam.

Mesyuarat ini bertujuan menyelaras hala tuju transformasi digital KPT, memperkukuh kerjasama antara Ketua Pegawai Digital (CDO) KPT, jabatan, agensi dan universiti awam, serta memperkasa pelaksanaan inisiatif pendigitalan pendidikan tinggi yang lebih bersepadu dan berimpak tinggi.

Antara pengisian utama mesyuarat ialah perbincangan mengenai pembangunan AI Education Hub sebagai platform penyelarasan nasional yang diterajui KPT dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi membangunkan ekosistem AI pendidikan yang bersepadu, merangkumi pembangunan bakat, penyelidikan, inovasi serta laluan pembangunan bakat AI secara berterusan daripada peringkat sekolah hingga ke pendidikan tinggi.

Mesyuarat turut membincangkan cadangan penubuhan Majlis Ketua Pegawai Digital Universiti Awam Malaysia, perkongsian inisiatif teknologi universiti awam, kerjasama strategik KPT bersama industri dalam pembangunan bakat AI dan reka bentuk litar bersepadu (IC Design), serta penggunaan Model AI ILMU (Intelek Luhur Malaysia Untukmu) oleh YTL AI Labs bagi memperkukuh ekosistem AI pendidikan tinggi negara.

KPT akan terus komited memperkukuh agenda transformasi digital dan pemerkasaan kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan tinggi bagi melahirkan ekosistem yang lebih inovatif, berdaya saing dan mampan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI serta Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.

Mesyuarat turut dihadiri oleh Ketua-Ketua Pegawai Digital Universiti Awam, Jabatan dan Agensi, serta pegawai-pegawai kanan KPT.

  • Last updated on .
  • Hits: 41
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 31 Julai 2026, 10:01:11.

logo-sirim