Program Jom Masuk U 2023 Bantu Pelajar Buat Pilihan Bernas
"Jangan tersalah pilih, buatlah keputusan yang bernas berdasarkan maklumat yang tepat, nasihat bermanfaat yang diterima dan naluri yang ikhlas".
Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi MARA (UiTM), YBhg. Datuk Prof. Emeritus Dr. Raduan Che Rose telah menitipkan pesanan demikian ketika berucap merasmikan Program Jom Masuk U 2023 (JMU2023) bagi Zon Utara yang diadakan di Dewan Perdana, UiTM Cawangan Kedah pagi tadi.
Justeru, para pelajar diseru untuk memanfaatkan kebaikan yang dibawa dalam siri jerayawara JMU2023 ini kerana ia merupakan wahana terbaik yang disediakan oleh kerajaan dalam mempromosikan ekosistem pendidikan tinggi negara kepada rakyat, tambah beliau.
Kampus yang terletak berhampiran lokasi bersejarah Lembah Bujang ini menjadi destinasi keempat persinggahan bagi jelajah JMU2023 minggu ini yang diadakan serentak di Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kota Kinabalu.
Para pengunjung yang terdiri daripada pelajar lepasan sekolah, ibubapa, kaunselor, dan pendidik telah membanjiri reruai yang telah disertai lebih 40 pempamer dari Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta serta agensi-agensi berkaitan pendidikan tinggi yang lain.
Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBrs. Dr. Haji Mohd Zahari Ismail; Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, YBhg. Dato' Prof. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman; Pengarah Education Malaysia, Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT, YBhg. Dato' Haji Shushilil Azam Shuib; dan Rektor UiTM cawangan Kedah, YBhg. Prof. Dr. Roshima Said.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 2878