Presiden Erdoğan Dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Hubungan Antarabangsa UM

Presiden Erdoğan Dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Hubungan Antarabangsa Um

Tuanku Canselor Universiti Malaya, DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan untuk menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Hubungan Antarabangsa kepada Presiden Republik Türkiye, TYT Recep Tayyip Erdoğan dalam Istiadat Konvokesyen Khas Universiti Malaya (UM) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) petang tadi.

Penganugerahan ini merupakan pengiktirafan kepada kepimpinan cemerlang beliau dalam memperkukuh hubungan diplomatik, kestabilan geopolitik, serta peranan Türkiye dalam menyelesaikan isu-isu antarabangsa.

Sebagai Presiden Türkiye sejak 2014 dan Perdana Menteri dari 2003 hingga 2014, beliau telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan Türkiye dengan kuasa besar dunia dan negara membangun, selain menjadikan negara tersebut sebagai peneraju dalam diplomasi dunia Islam dan usaha kemanusiaan global.

Di bawah kepimpinannya, Türkiye telah menjadi pemain utama dalam inisiatif keamanan antarabangsa, termasuk dalam rundingan damai, bantuan kemanusiaan kepada negara yang dilanda krisis, serta memperjuangkan hak-hak rakyat Palestin di peringkat antarabangsa.

Menurut UM, pencapaian ini seiring dengan aspirasinya dalam mengiktiraf tokoh berwibawa yang memberi impak besar kepada dunia menerusi kepimpinan, diplomasi, dan nilai-nilai kemanusiaan antarabangsa sekali gus memperkukuh kecemerlangan global menerusi jalinan persahabatan antarabangsa, penyelidikan strategik, dan pemeliharaan nilai sejagat.

Konvokesyen Khas ini turut dihadiri oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim; Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Abd Kadir, serta beberapa kenamaan lain, mencerminkan hubungan erat antara Malaysia dan Türkiye dalam pelbagai aspek, termasuk pendidikan, ekonomi, dan diplomasi antarabangsa.

Penganugerahan ini bukan sahaja mengiktiraf sumbangan besar TYT Presiden Erdoğan kepada dunia, tetapi juga sebagai iltizam memperkukuh hubungan akademik UM dengan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) serta sektor penyelidikan di Türkiye.

Ia juga diharap dapat merintis lebih banyak peluang kerjasama dalam penyelidikan, mobiliti akademik, dan pembangunan ilmiah antara Kuala Lumpur-Ankara. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 228
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 20 Mac 2025, 07:42:13.

logo-sirim