KSU Ketuai Kudah Di Sungai Ayer Hitam Kg Dato’ Abu Bakar Baginda

KSU Ketuai Kudah Di Sungai Ayer Hitam Kg Dato’ Abu Bakar Baginda

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memperkukuh komitmen terhadap pemeliharaan alam sekitar dengan penganjuran Program KUDAH: Kutip Sampah Sambil Riadah di Sungai Ayer Hitam, Kampung Dato' Abu Bakar Baginda pagi tadi.

Program yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang tersebut telah menghimpunkan lebih 400 orang peserta dalam kalangan warga KPT, penduduk kampung, mahasiswa institusi pendidikan tinggi, serta sukarelawan daripada pelbagai organisasi termasuk Sahabat Sungai Malaysia dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Sebelum memulakan aktiviti, beliau berkongsi akan kepentingan inisiatif komuniti dalam pemeliharaan sungai, khususnya dalam memastikan kebersihan sumber air yang menjadi nadi kehidupan penduduk sekitar.

"Program ini bukan sahaja memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar, tetapi juga memupuk semangat gotong-royong dan tanggungjawab bersama dalam menjaga kelestarian sungai," katanya.

Menurut beliau, Sungai Ayer Hitam ini merupakan salah satu cabang sungai yang berasal dari Presint 15, Putrajaya, sebelum mengalir ke Tasik Putrajaya dan akhirnya menyumbang kepada bekalan air bersih di kawasan sekitar.

Justeru, penjagaan kebersihan sungai ini amat penting bagi memastikan kualiti air sentiasa berada dalam keadaan baik.

Program pagi tadi melibatkan dua komponen utama iaitu pembersihan sungai dengan mengutip sampah yang tersangkut dan mendak bagi memastikan aliran sungai tidak tersumbat; serta pembersihan denai dan sekitar sungai sepanjang 1KM.

Penduduk kampung turut menyambut baik inisiatif ini dan berharap ia dapat dijadikan program tahunan bagi memastikan sungai kekal bersih dan bebas daripada pencemaran.

Ketika ditanya, beberapa pemimpin komuniti turut berkongsi usaha serta melahirkan rasa penghargaan atas usaha yang telah dijalankan sejak beberapa tahun lalu untuk memulihkan kawasan sekitar Sungai Ayer Hitam, termasuklah memulihkan tapak pelupusan sampah haram menjadi taman riadah untuk masyarakat setempat.

YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini turut mengingatkan bahawa pemeliharaan alam sekitar tidak boleh dilakukan secara bermusim, tetapi perlu menjadi budaya dalam kehidupan seharian.

"Menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab bersama. Setiap individu mempunyai peranan dalam memastikan kelestarian sumber air dan ekosistem kita untuk generasi akan datang," tambahnya.

Program KUDAH kali ini menjadi bukti bahawa inisiatif komuniti mampu membawa perubahan besar dalam memelihara alam sekitar, sekaligus memastikan sungai terus menjadi sumber kehidupan yang bersih dan lestari. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 277
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 20 Mac 2025, 07:42:13.

logo-sirim