PPRN 2026; Malaysia Sasar Kelompok 20 Teratas Indeks Inovasi Global Menjelang 2030

PPRN 2026; Malaysia Sasar Kelompok 20 Teratas Indeks Inovasi Global Menjelang 2030

7 April 2026 | Kuala Lumpur

Malaysia menyasarkan kedudukan 20 teratas dalam Indeks Inovasi Global (Global Innovation Index - GII) menjelang tahun 2030 sebagai manifestasi kemajuan penyelidikan dan pembangunan negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menegaskan bahawa sasaran itu mampu dicapai melalui pengukuhan kerjasama antara sektor awam dan swasta menerusi platform Jaringan Penyelidikan Awam-Swasta (Public-Private Research Network - PPRN).

Beliau hadir pagi tadi bagi merasmikan Persidangan PPRN 2026 yang berjaya menghimpunkan kira-kira 500 orang peserta terdiri daripada kelompok penyelidik, universiti, dan pemain industri.

Penganjuran yang dijayakan bersama Universiti Sains Malaysia (USM) itu bertujuan mengetengahkan projek-projek PPRN berimpak tinggi yang berjaya menyelesaikan permasalahan industri serta mempamerkan sumbangan penyelidikan dalam meningkatkan daya saing syarikat.

Berdasarkan laporan GII 2025, Malaysia kini berada pada tangga ke-34 daripada 139 ekonomi dan menduduki tempat kedua di Asia Tenggara.

Sejak tahun 2015 hingga 2026, sebanyak 780 projek telah diluluskan di bawah dana PPRN sebagai bukti keberkesanan kolaborasi akademia dan pihak swasta.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut menetapkan sasaran peningkatan pendaftaran paten daripada 968 unit kepada 2,000 unit menjelang tahun 2030 bagi merancakkan aktiviti pengkomersialan tempatan.

Prakarsa tersebut selari dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang memberi penekanan kepada pembangunan ekosistem Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan, dan Ekonomi (Research, Development, Innovation, Commercialization and Economy - RDICE) yang mampan.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Tuan Adam Adli Abd Halim; dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Anesee Ibrahim. 

  • Last updated on .
  • Hits: 130
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 09 April 2026, 08:49:04.

logo-sirim