KPT dan Kerajaan Negeri Perak Perkukuh Ekosistem Pendidikan Tinggi, Fokus Bangunkan Bakat Terbaik Negara

6 April 2026 | Ipoh, Perak
Kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kerajaan Negeri Perak terus diperkukuh dalam usaha melahirkan lebih ramai bakat terbaik negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir siang tadi telah mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar Perak, YAB Dato' Seri Saarani Mohamad dengan pelbagai perkara dibincangkan antara kementerian dan kerajaan negeri selaras pendekatan ‘whole of government approach’.
Pertemuan ini turut membincangkan hala tuju pembangunan sektor pendidikan tinggi melalui pembentangan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 oleh Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim.
Turut dibentangkan ialah projek pembangunan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di Negeri Perak oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan. Pada ketika ini Negeri Perak kini menempatkan dua Universiti Awam iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM); tiga buah politeknik dan 13 buah kolej komuniti serta beberapa IPT Negeri dan Swasta.
Antara fokus utama perbincangan termasuk cadangan tapak Kolej Komuniti Pangkor di Teluk Nipah, Pulau Pangkor serta cadangan pembangunan Politeknik Lumut.
Dalam masa yang sama, Negeri Perak telah memainkan peranan penting sebagai antara penyumbang utama bakat terbaik negara.
Ekosistem pendidikan yang menyeluruh daripada peringkat teknikal, vokasional hingga universiti telah melahirkan modal insan berkualiti tinggi yang menyokong keperluan industri dan pembangunan negara.
Perbincangan turut menekankan bagaimana bakat-bakat ini mampu memacu kemajuan modal insan secara lebih menyeluruh, dengan IPT juga bertindak sebagai katalis kepada pembangunan setempat. Kewujudan institusi pendidikan tinggi bukan sahaja melahirkan graduan berkemahiran, malah merangsang pertumbuhan ekonomi, inovasi dan kesejahteraan komuniti di kawasan sekitar.
Selain itu, tiga Naib Canselor iaitu dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM); Universiti Teknologi Malaysia (UTM); dan Universiti Sains Malaysia (USM) turut membentangkan perancangan projek pembangunan dan penyelidikan, termasuk bidang arkeologi di Lenggong serta potensi sumber nadir bumi (REE) di Hulu Perak.
Sebagai langkah ke hadapan, penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Perak yang akan dipengerusikan bersama oleh YAB Menteri Besar Perak dan YB Menteri Pendidikan Tinggi turut dibincangkan, bagi memastikan pembangunan bakat negeri yang lebih tersusun, mampan dan berimpak tinggi.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, YB Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan pengurusan tertinggi Kementerian dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
- Last updated on .
- Hits: 140
