PM Tutup PMR 2025 Perak, Angkat Peranan Pendidikan Tinggi

PM Tutup PMR 2025 Perak, Angkat Peranan Pendidikan Tinggi

“Program ini penting… Program MADANI Rakyat ini adalah kesempatan untuk kita berwacana antara pembuat dasar, pelaksana dan rakyat.”

Begitulah amanat yang disampaikan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, ketika menutup secara rasmi Program MADANI Rakyat 2025 (PMR 2025) Negeri Perak yang berlangsung di Lumut Waterfront petang tadi.

Program selama tiga (3) hari itu menyaksikan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bertindak sebagai kementerian peneraju manakala Kerajaan Negeri Perak menjadi tuan rumah.

Mengangkat tema "Pendidikan Tinggi Pemacu Negara MADANI", PMR 2025 Perak menjadi platform utama untuk mengetengahkan peranan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dalam mendepani cabaran rakyat melalui inovasi, penyelidikan dan pembangunan bakat.

Pavilion KPT menjadi tumpuan sepanjang program dengan pengisian melibatkan lebih 40 reruai agensi dan IPT termasuk khidmat pemeriksaan kesihatan oleh Hospital Pengajar Universiti, servis motosikal percuma, serta pameran hasil penyelidikan dan inovasi IPT.

YAB Perdana Menteri menghargai tindakan pantas KPT dalam menyelaras inisiatif naik taraf infrastruktur asas pendidikan seperti makmal, asrama dan juga akses internet bagi menjamin keselesaan dan keselamatan para pelajar.

Selain itu, beliau turut menekankan manfaat kerjasama KPT dan Kerajaan Negeri Perak dalam menjayakan dua (2) projek strategik; Lumut Maritime Industrial City (LuMIC) dan Automotive High-Tech Valley (AHTV) yang melibatkan penyertaan IPT dalam membangunkan bakat mahir tempatan.

PMR 2025 Perak mencatat lebih 200,000 pengunjung, melepasi sasaran dijangkakan yang menampilkan 230 perkhidmatan terus kepada rakyat, 75 sesi libat urus, 16 program satelit serta penyertaan pelajar dan pensyarah IPT dalam pelbagai inisiatif komuniti.

Seterusnya, YAB Perdana Menteri bersama barisan kepimpinan turut melakukan lawatan ke reruai pameran termasuklah Pavilion KPT.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau turut mengambil kesempatan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga 15 pelajar UPSI yang terkorban dalam kemalangan baru-baru ini dan mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat.

Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; barisan Jemaah Menteri; Ketua-ketua Jabatan Kerajaan; serta wakil-wakil masyarakat Negeri.

'Pendidikan Tinggi Pemacu Negara MADANI' 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 198
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Selasa 15 Julai 2025, 07:22:36.

logo-sirim