PM Puji KPT Dan UTM Mampu Bangun Fakulti Ai Dalam Masa Singkat

PM Puji KPT Dan UTM Mampu Bangun Fakulti Ai Dalam Masa Singkat

Perdana Menteri merakamkan pujian kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) atas usaha dan kemampuan menyahut seruan beliau untuk menubuhkan Fakulti AI (FAI UTM) dalam masa yang singkat.

"Kalau biasanya fakulti, pengenalan disiplin baru atau jabatan baru nak diperkenalkan universiti, selalunya dia memerlukan satu (1) tahun. Saya ucap tahniah pada KPT terutamanya UTM. Saya umum November, Februari dah siap untuk dilancarkan fakulti (FAI UTM)".

YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim yang berucap dalam Sesi Townhall Lebaran Aidilfitri Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) bersama Perdana Menteri di sini petang tadi turut meletakkan kejayaan KPT dan UTM tersebut sebagai satu transformasi yang diperlukan oleh semua Kementerian dan kakitangan awam.

"Maknanya, 'We Can'. Kita boleh pecahkan tembok-tembok halangan sistem lama ni. Baik perolehan, baik yang baru," ujar beliau.

Tambahnya lagi, "Ini yang saya perlukan. Jadi bila ada keputusan Jemaah Menteri, sampai dalam post-cabinet disampaikan oleh KSN dan KSU masing-masing, saudara must 'act on it'".

Dalam sesi yang turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBhg. Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian tersebut, YAB Perdana turut menyentuh berkenaan pendekatan baharu yang perlu diterapkan dalam sistem pendidikan negara.

Memfokuskan bidang AI, beliau berkata bahawa pembangunan ekosistem bidang tersebut perlu bermula sedari bangku sekolah lagi dengan menekankan usaha menarik minat murid kepada ilmu Sains dan Matematik terlebih dahulu.

Seterusnya, tanggungjawab Institusi Pendidikan Tinggi pula adalah untuk melahirkan seramai mungkin jurutera bertauliah yang bukan sahaja mampu menguasai bidang AI, malah rekabentuknya juga.

"'Don't talk about AI in the universities, produce enough engineers. Because only qualified engineers can excel in AI and particularly in terms design'. Kalau universiti dengan pendekatan lama, dia tidak boleh berhasil," jelas beliau.

Majlis petang tadi diteruskan dengan sesi dialog antara YAB PM dan para ahli PTD yang hadir, sebelum disambung dengan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PPTD.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali; serta Presiden PPTD, Datuk Seri Isham Ishak. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1196
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim