Kerjasama R&D KPT Dan Industri Pertahanan Tempatan Kurangkan Kebergantungan Luar
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan institusi serta pemain industri pertahanan tempatan dalam usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber teknologi luar.
Berucap ketika menyempurnakan majlis penutup Pameran Defence Security and Sustainability (DSS) 2024 anjuran Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini tengah hari tadi, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud menjelaskan kerjasama tersebut merangkumi aktiviti-aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R & D) serta latihan.
Justeru, penganjuran pameran dwitahunan oleh UPNM ini memberi peluang kepada para penyelidik dan pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) untuk mempamerkan hasil penyelidikan dan produk inovasi mereka yang berfokuskan aspek keselamatan dan pertahanan, selaras tema "Human - Centered Discovery and Innovation".
Malah, DSS 2024 turut meraikan cetusan idea baharu sejajar dengan perkembangan pendidikan tinggi di era industri 4.0 melalui penglibatan agensi kerajaan, IPT, rakan industri dan masyarakat.
Katanya lagi, selain pertukaran idea dan jalinan kerjasama, KPT turut mengangkat budaya penyelidikan sebagai peluang yang mampu menggerakkan masyarakat ke arah kualiti hidup yang lebih tinggi dengan aspirasi melonjak Malaysia menjadi sebuah negara maju.
Kali ini, sebanyak 140 peserta daripada IPT dan sekolah-sekolah mempamerkan penyelidikan dan inovasi mereka sambil merebut hadiah dalam empat (4) kategori utama iaitu Fundamental, Applied, Innovation dan Sekolah.
Hadir sama Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional (UPNM), Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1024