PM Di UPSI, Sampaikan Anugerah Buku Negara 2023; Temu Anwar
Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim turun ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pagi tadi bagi menyempurnakan majlis Anugerah Buku Negara 2023 (ABN2023).
Beliau yang disambut oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir serta pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan UPSI, turut meluangkan masa bertukar pandangan dengan lebih 4,000 mahasiswa yang hadir dalam sesi dialog Temu Anwar.
ABN2023 merupakan majlis tahunan kendalian Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) dengan tahun ini, UPSI telah dilantik sebagai rakan strategik penganjuran.
Dalam program sama juga, YAB Perdana Menteri melontarkan buah fikiran dan harapan beliau terhadap golongan mahasiswa dalam mendepani cabaran dunia yang mendatang.
Malah, beliau menyeru kelompok mahasiswa untuk menjadikan amalan membaca sebagai rutin harian kerana tamadun sebuah bangsa dan negara itu terbina dengan tingginya ilmu rakyatnya.
Hadir sama Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad; Menteri Besar Selangor, YAB Dato' Seri Amirudin Shari; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali; serta Pengerusi YPBN, Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1741