Pertukaran Pengetahuan Dan Pemindahan Teknologi: Landasan Hala Tuju Masa Depan Tinggi Malaysia

Pertukaran Pengetahuan Dan Pemindahan Teknologi: Landasan Hala Tuju Masa Depan Tinggi Malaysia

Pendidikan tinggi yang berdaya saing di peringkat global semakin memerlukan pendekatan baharu yang melibatkan pertukaran pengetahuan dan pemindahan teknologi (Knowledge Sharing and Transfer Programme - KSTP) antara universiti, industri, dan masyarakat.

Konsep ini bukan sahaja penting untuk memperkukuhkan penyelidikan, malah turut memastikan universiti menyumbang kepada manfaat sosial dan ekonomi.

Perkongsian pengetahuan ini menjadi fokus utama dalam Sesi Perkongsian Transformasi Pendidikan Tinggi bersama Naib Canselor Universiti Keele, United Kingdom, Prof. Trevor McMillan OBE yang telah diadakan di Universiti Malaya petang tadi.

Dalam sesi yang turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang tersebut, Prof. McMillan dalam ucapannya menekankan bahawa pertukaran pengetahuan adalah aspek penting dalam pendidikan tinggi hari ini.

“Selama lebih sedekad di UK, kami telah memikirkan secara mendalam tentang bagaimana mengukur, meningkatkan, dan memperbaiki pertukaran pengetahuan,” ujarnya.

Majlis ini turut menampilkan perbincangan tentang kerjasama antarabangsa dan keperluan Universiti Awam (UA) di Malaysia untuk meningkatkan daya saing global melalui perkongsian strategik.

YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dalam ucapan aluannya turut menegaskan bahawa pelan transformasi pendidikan tinggi Malaysia harus melihat kerjasama dengan institusi antarabangsa sebagai satu cara untuk memperkukuh sistem pendidikan tinggi negara.

Sesi tersebut turut dijayakan dengan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Kerja Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Negara 2026-2035, Prof. Emerita Datuk Asma Ismail, yang menekankan kepentingan pelan jangka panjang dalam membina masa depan pendidikan tinggi yang lebih mampan dan berdaya saing.

Prof. McMillan turut berkongsi pengalaman dari Universiti Keele, di mana universiti tersebut telah berjaya mengintegrasikan penyelidikan dan inovasi dengan manfaat sosial melalui pertukaran pengetahuan.

Cabaran seperti kekangan kewangan, kerjasama industri, dan pembangunan serantau juga dibincangkan sebagai aspek penting dalam memastikan kelestarian pendidikan tinggi. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1161
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Ahad 16 Februari 2025, 13:00:25.

logo-sirim