Perkongsian Strategik Universiti Tempatan Dan CelcomDigi, Revolusi Sistem Pendidikan Tinggi

Perkongsian Strategik Universiti Tempatan Dan CelcomDigi, Revolusi Sistem Pendidikan Tinggi

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud menghadiri Majlis Pelancaran ‘CelcomDigi Metaversity ’ di sini pagi tadi.

YB Timbalan Menteri yang hadir berucap, menyatakan keterujaan beliau untuk sama-sama mengambil bahagian dalam inisiatif yang signifikan dalam teknologi baharu ini dan sudah pasti banyak kelebihan untuk diterokai oleh pihak universiti dalam beradaptasi dengan teknologi Metaverse.

Setakat ini, terdapat lapan buah universiti awam dan dua universiti swasta yang telah menggunakan teknologi Metaverse dalam sistem pembelajaran yang menggabungkan realiti dunia fizikal dan dunia maya digital dan bakal diperluaskan dengan termeterainya Kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan Tinggi dan CelcomDigi.

Dalam pada itu, YB Timbalan Menteri turut menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) antara KPT dan CelcomDigi yang masing-masing diwakili oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman dan Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi.

YB Timbalan Menteri seterusnya dibawa melawat ke ruang pameran dan diberi penerangan oleh para pelajar dan tenaga pengajar berhubung Metaverse realiti maya (VR), realiti tambahan (AR) dan kecerdasan buatan (AI) berteraskan platform inovasi ini yang direka bentuk bagi meningkatkan metodologi pembelajaran dengan menyediakan pengalaman yang mendalam, interaktif dan realistik merentas pelbagai disiplin.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman; Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), YBhg. Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din; dan Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1223
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim