Pengurusan Tertinggi KPT Menghadiri Majlis Amanat KSN Tahun 2024

Pengurusan Tertinggi KPT Menghadiri Majlis Amanat KSN Tahun 2024

Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tahun 2024 yang disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali di sini petang tadi telah disertai oleh Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang bersama timbalan-timbalannya.

Dalam majlis yang turut dihadiri oleh para pegawai tertinggi perkhidmatan awam tersebut, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki telah menyampaikan aspirasi dan harapan bagi kakitangan awam mendepani ‘megatrends’ baharu dan cabaran masa hadapan.

Selain itu, beliau turut memberi teguran dan peringatan kepada seluruh penjawat awam untuk meningkatkan kualiti kerja dan penyampaian supaya reputasi sektor perkhidmatan awam negara dapat diperkasakan.

Pada masa sama, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki turut menegaskan peri pentingnya setiap kementerian untuk bekerjasama dan menggembleng buah fikiran dalam menguruskan isu dan cabaran secara tuntas dan efisien.

Malah, kakitangan awam turut diseru agar dapat bersama-sama beliau dan kepimpinan negara dalam usaha melaksanakan dan menjayakan kerangka Malaysia MADANI.

Dalam kesempatan tersebut juga, beliau turut merakamkan pujian dan penghargaan kepada pelbagai transformasi dan sumbangan yang telah dijayakan oleh para penjawat awam dalam melancarkan lagi urusan yang membebani semua pihak selama ini.

Hadir sama ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah KPT serta Naib-naib Canselor dari Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Awam seluruh negara. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1868
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 03:07:22.

logo-sirim