Pembelajaran Sepanjang Hayat Pemangkin Kesejahteraan Komuniti

Pembelajaran Sepanjang Hayat Pemangkin Kesejahteraan Komuniti

Peranan Kolej komuniti harus dikembalikan kepada masyarakat sebagai sebuah institusi bagi mempelopori minat dan kemahiran baharu, khususnya kepada golongan muda dan belia.

Inisiatif Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) menjadi pelonjak serta pemangkin kesejahteraan secara tidak langsung mampu menaik taraf masyarakat serta komuniti setempat.

”KPT sedang berusaha untuk memperkasakan Kolej Komuniti untuk menjadi institusi yang benar-benar mampu mengupayakan masyarakat setempat. Salah satu langkah yang diambil adalah dengan melantik Pengerusi Jawatankuasa Penasihat yang dipengerusikan oleh pemimpin kawasan komuniti,” kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal di Majlis Konvokesyen Komemoratif Kolej Komuniti (Sesi Sidang 3) di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), hari ini.

Ujar beliau lagi "selain itu, KPT juga sentiasa mewujudkan lebih banyak inisiatif Industrial Collaboration Program (ICP) agar usaha pemadanan kerja graduan yang bersesuaian dengan kelayakan dapat disinergikan terutama dalam bidang keusahawanan, telekomunikasi serta teknologi”.

Tambah beliau, ”amat membanggakan apabila lepasan TVET dalam kalangan graduan kolej komuniti sering menjadi pilihan utama industri. Ini bermakna skop pekerjaan dan kemahiran yang difokuskan oleh kolej komuniti relevan dengan aliran industri semasa.”

Seramai 1,081 orang graduan daripada negeri Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang daripada pelbagai jurusan pengajian hadir menerima skrol di majlis hari ini.

Turut disampaikan ialah Anugerah Ketua Pengarah, Anugerah Usahawan dan Anugerah Pelajar Cemerlang kepada pelajar yang mencatat kejayaan cemerlang dalam bidang tersebut.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2334
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 17 Mei 2024, 15:30:11.