Pembangunan Sukan Negara Kini Jadi Agenda KPT

Pembangunan Sukan Negara Kini Jadi Agenda KPT

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah diamanahkan untuk bersama-sama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam mencungkil bakat baharu sukan negara sedari peringkat akar umbi lagi.

Amanat tersebut diputuskan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melalui Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Pembangunan Sukan yang julung kali diadakan di sini pagi tadi yang dihadiri oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin bersama YB Menteri KBS dan KPM.

Ketiga-tiga kementerian bersepakat untuk memperkasakan program pembangunan sukan di bawah skop dan tanggungjawab masing-masing, terutamanya dalam sukan tempur, olahraga dan renang bagi mempersada nama negara di arena global.

Melalui mesyuarat tersebut, KPT bakal menerajui program Biasiswa Sukan Persekutuan yang sebelum ini dikendalikan oleh KBS merangkumi skop, terma dan peruntukan.

Bagi memantapkan kualiti kejurulatihan di peringkat IPT, KBS akan memperluas, menyelaras serta menganjurkan program pendidikan dan pelesenan kejurulatihan mereka kepada golongan tersebut melalui kepakaran yang dimiliki oleh Institut Sukan Negara.

KPT turut diseru untuk mewujud dan menggiatkan pertandingan kompetitif di peringkat IPT, di samping menyediakan platform yang tepat bagi mengenal pasti atlet IPT berbakat besar,

Selain fokus kepada pembangunan atlet IPT, KPT turut berkongsi peruntukan Dana Sukan Komuniti sebanyak RM 20 juta yang juga diperluas kepada KPM bagi menjayakan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) di peringkat komuniti.

Turut hadir pagi tadi Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Dato' Seri Abdul Razak Jaafar; dan Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik KPT, YBhg. Dato’ Dr. Pekan Ramli.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 4188
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 25 Julai 2024, 04:35:17.

logo-sirim