Nilai Ihsan Dan Tanggungjawab Kunci Kecemerlangan Perkhidmatan Organisasi

Nilai Ihsan Dan Tanggungjawab Kunci Kecemerlangan Perkhidmatan Organisasi

Setiap penjawat awam perlu memupuk nilai ihsan atau empati dengan meletakkan diri mereka sebagai seorang pelanggan yang selayaknya diberi sebuah perkhidmatan cemerlang sehingga layanan berkualiti yang diterima itu berjaya memberikan reputasi yang baik terhadap kepimpinan sesebuah organisasi.

Dicantum dengan nilai kebertanggungjawaban, penjawat awam yang telah diberikan amanah oleh kerajaan ini perlu menterjemahkan nilai tersebut dengan sikap kesungguhan, komitmen dan kesetiaan dalam melaksanakan tekad memacu kecemerlangan berkhidmat demi rakyat untuk negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato' Abdul Razak Jaafar berkata demikian ketika menyempurnakan Malam Gala Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM): Pentadbir Cemerlang, Universiti Gemilang di sini malam tadi.

Tambah beliau, selain dua (2) nilai tersebut, semua penjawat awam perlu terus memberi fokus kepada matlamat organisasi yang boleh dijayakan dengan memenuhi pencapaian yang telah disasarkan oleh indeks petunjuk prestasi masing-masing bagi mencapai output kerja dan seterusnya keberhasilan kepada rakyat.

Majlis malam tadi julung kali diadakan bagi meraikan dan mengiktiraf sumbangan dan penglibatan Pegawai Pengurusan & Profesional UKM melalui Anugerah PERTADI (Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas) kepada mereka yang banyak memberikan sumbangan kepada universiti mengikut kategori-kategori yang ditetapkan seperti dalam bidang Penulisan, Penyelidikan mahupun dalam Tadbir Urus.

Tema majlis "Pentadbir Cemerlang, Universiti Gemilang" adalah bertepatan dengan aspirasi kerajaan YAB Perdana Menteri yang telah menyatakan bahawa perkhidmatan awam adalah tonggak negara yang mampu membawa semangat islah iaitu perubahan ke arah kebaikan demi negara

Malah, di era pendidikan tinggi jauh lebih rumit dan mencabar ini, sektor ini perlu dipacu dengan kepimpinan yang kompeten dan berwibawa yang mempunyai visi luar biasa, mempunyai jaringan strategik untuk kepentingan universiti seterusnya berupaya merubah universiti menjadi lebih produktif dan relevan, sebagaimana digariskan dalam Amanat 2023 YB Menteri Pendidikan Tinggi.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, YBhg. Prof Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd Razak; Naib Canselor UKM, YBhg. Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman; serta barisan pengurusan tertinggi UKM yang lain.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2174
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Selasa 09 April 2024, 09:42:49.