Pasangan Diraja Selangor, Alumni Rai 25 Tahun UiTM Sebagai Sebuah Universiti
Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin yang juga Pro-Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah berkenan mencemar duli berangkat memeriahkan sambutan ke-25 tahun universiti tersebut semalam.
Ketibaan baginda berdua telah disambut oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato' Sri Haji Fadillah Haji Yusof; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari; serta Naib Canselor UiTM, Datuk Prof. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin.
Majlis tersebut diadakan sebagai meraikan ulang tahun ke-25 UiTM sebagai sebuah universiti sejak penukaran nama dari Institut Teknologi MARA (ITM) kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 26 Ogos 1999 lalu.
Untuk memperingati kejayaan yang tercapai itu, UiTM telah melaksanakan pelbagai program, antaranya termasuk program kayuhan kapsul yang mencatat rekod Malaysia Book of Records sebagai "The Longest Distance University Cycling Convoy" dengan jarak keseluruhan 1,929.51 kilometer.
Berlangsung mulai 20 Jun hingga 2 Julai 2024, pasukan kayuhan tersebut telah merentasi kesemua cawangan UiTM sambil mengumpulkan hasrat dari setiap kampus untuk dipahatkan di Monumen Hasrat 25 Tahun UiTM yang dibina di pekarangan Dewan Agung Tuanku Canselor.
Setiap hasrat yang dimasukkan ke dalam kapsul tersebut melambangkan aspirasi warga UiTM untuk kejayaan universiti itu untuk 25 tahun akan datang.
Dalam ucapannya, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof menyatakan pendirian mengenai agenda memperkasa pendidikan Melayu dan Bumiputera masih kekal penting untuk UiTM yang sehingga kini telah membuktikan fungsinya dalam meningkatkan taraf sosio-ekonomi, pendidikan dan penyatuan bangsa di Malaysia.
Majlis ini juga menjadi platform untuk menghargai alumni UiTM daripada pelbagai era, termasuk 14 orang alumni pertama Dewan Latehan RIDA dari tahun 1960 hingga 1964.
Majlis ini bukan sekadar sambutan biasa, tetapi simbolik kepada komitmen UiTM dalam melahirkan generasi yang berjaya dan berdaya saing.
Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman, serta ahli-ahli Lembaga Pengarah UiTM.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1387