NMEPC 3.0 Lonjak Ekosistem Keusahawanan Negara Berteraskan Teknologi Dan Inovasi

NMEPC 3.0 Lonjak Ekosistem Keusahawanan Negara Berteraskan Teknologi Dan Inovasi

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memperkasa peranannya sebagai pemangkin pembangunan ekonomi negara dengan melahirkan usahawan pelajar dan graduan yang kreatif serta berdaya cipta.

Program National Micro Enterprise Pitching Competition (NMEPC) 3.0 merupakan platform penting bagi KPT untuk mencapai matlamat lonjakan ekosistem keusahawanan negara berasaskan teknologi dan inovasi ini, khususnya dalam meningkatkan kemahiran pelajar dalam membentangkan idea perniagaan mereka dalam sesi pitching di hadapan pelabur.

Majlis Perasmian Penutup program peringkat nasional ini telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBhg. Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) semalam.

Edisi kali ini telah berjaya menghimpunkan 38 kumpulan dari pelbagai Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) seperti Universiti Awam, Politeknik, Kolej Komuniti, dan Universiti Berkaitan Kerajaan (GLU).

Program ini bermatlamat memperkasa pembangunan usahawan muda melalui pembentukan perniagaan mikro berasaskan teknologi digital, inovasi, dan kepintaran buatan (AI).

Pemenang tempat pertama bagi Kategori Perkhidmatan dimenangi oleh OCEANIC ORDER (UMT), Kategori Makanan dan Minuman dimenangi oleh SALAQSTIX (UMS), Kategori Industri Seni dan Kreatif dimenangi oleh WAHII ART PRINT (UiTM), dan Kategori Teknologi dan Inovasi dimenangi oleh QTUTOR (UM).

Manakala, Kumpulan QTUTOR dari Universiti Malaya (UM) telah dinobatkan sebagai pemenang utama anugerah khas, Best of The Best NMEPC 3.0.

KPT berharap program seumpamanya akan terus diperkasa bagi menyokong penubuhan lebih banyak startups dan penciptaan pekerjaan dalam kalangan pelajar IPT.

Turut hadir, Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Fazidah Mustafa; dan Naib Canselor UTeM, Datuk Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 584
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 13 Disember 2025, 00:02:22.

logo-sirim