Malaysia-Afrika Tingkat Mobiliti Akademia, Sasar Jadi Hab Pendidikan Global Selatan
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus mempergiat usaha menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau yang kini menjadi destinasi pilihan lebih 150,000 pelajar antarabangsa dari 180 negara.
Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa kehadiran pelajar dari benua Afrika merupakan sebahagian penting daripada komuniti global ini yang menyumbang kepada pembangunan negara masing-masing.
Beliau menekankan bahawa pertukaran bakat dan mobiliti pelajar harus kekal sebagai teras utama dalam memperdalam kerjasama dua hala antara Malaysia dan negara-negara Afrika.
Ucaptama beliau di Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Afrika 2025 (MAHEF2025-Afrika) menyerlahkan komitmen Malaysia untuk menawarkan pendidikan berkualiti yang bukan sekadar transaksi komersial, tetapi pelaburan moral demi maruah manusia.
KPT menggalakkan ahli akademik Malaysia untuk menyumbang kepakaran mereka merentas institusi di Afrika bagi memperkaya pengalaman pembelajaran bersama.
YB Dato' Seri Anwar percaya bahawa apabila anak muda Afrika dan Malaysia belajar secara berdampingan, mereka akan membina persefahaman yang melangkaui batas geopolitik.
Kerjasama ini membuktikan bahawa sistem pendidikan negara semakin mendapat kepercayaan dan pengiktirafan sebagai rakan kongsi yang dihormati di peringkat antarabangsa.
Forum ini menjadi wadah terbaik untuk menilai semula mekanisme pembiayaan dan jaminan kualiti pendidikan tinggi agar setanding dengan piawaian global serta inklusif.
Turut hadir, Setiausaha Kabinet Pendidikan Kenya, Julius Migos Ogamba; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya, Ruzaimi Mohamad.
MAHEF2025-Afrika, yang berlangsung semalam turut melibatkan penyertaan tujuh (7) buah negara rantau Afrika iaitu Kenya, Ethiopia, Rwanda, Somalia, South Sudan, Tanzania dan Uganda, telah dianjurkan oleh EMGS.
Ia memfokuskan kerjasama strategik antara Malaysia dan negara-negara Afrika melalui pengukuhan STEM, pengantarabangsaan, pertukaran pengetahuan dan penyelidikan, mobiliti pelajar serta akademia, dan usaha menyokong Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia ke arah memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab pendidikan global.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 603