MoU KPT Dengan School Of Oriental And Africa Studies (SOAS) Daulatkan Bahasa Melayu Di Benua Eropah

MoU KPT Dengan School Of Oriental And Africa Studies (SOAS) Daulatkan Bahasa Melayu Di Benua Eropah

Sejarah dilakar semalam apabila Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui dua (2) universiti awam negara (UA) iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan School of Oriental and African Studies (SOAS) University of London bagi mempromosi Bahasa Melayu di seantero benua Eropah.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KSU KPT) YBhg. Dato' Seri Abdul Razak Jaafar yang sedang dalam rangka lawatan kerjanya ke United Kingdom (UK) bermula Ahad lalu telah menandatangani MoU tersebut dengan Pengarah SOAS Prof. Adam Habib.

Turut sama menandatangani memorandum tersebut mewakili UPSI ialah Naib Canselornya, YBhg. Dato' Prof. Dr. Md. Amin Md. Taff, manakala UniSZA diwakili oleh Naib Canselornya, YBhg. Prof. Dr. Fadzli Adam.

Jalinan kerjasama ini dimeterai sebagai usaha untuk mengangkat martabat bahasa kebangsaan yang pernah menjadi kebanggaan di era kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka dahulu, sekali gus mampu mengembangkan diaspora ilmu alam Melayu ke pentas dunia.

Melalui MoU tersebut, UPSI bakal menumpukan usaha kepada perkongsian budaya, nilai-nilai dan tatasusila alam Melayu manakala UniSZA pula akan meneroka peluang membangunkan projek pendigitalan manuskrip Islam dan benua Nusantara yang berada dalam koleksi SOAS.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2504
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim