Memperkasa Pembangunan IPTA Melalui Mesyuarat MTPK di Politeknik Port Dickson

Memperkasa Pembangunan IPTA Melalui Mesyuarat MTPK di Politeknik Port Dickson

28 Julai 2026 | Port Dickson, Negeri Sembilan

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Kementerian (MTPK) Bilangan 1 Tahun 2026 pada 27 Julai 2026 di Dewan Wawasan, Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan.

Mesyuarat memberi tumpuan kepada status pelaksanaan projek pembangunan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi Rolling Plan Pertama (RP1) Tahun 2026 di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13). Sebanyak lima kertas kerja telah dibentangkan meliputi status semasa pelaksanaan projek, isu-isu berbangkit serta cadangan tindakan bagi memperkukuh penyelarasan antara KPT dan agensi pelaksana.

Perbincangan turut memfokuskan usaha memperkukuh pemantauan pelaksanaan projek, mempercepat penyelesaian isu secara bersepadu serta memastikan setiap projek disiapkan mengikut jadual, menepati skop dan mencapai objektif yang ditetapkan demi manfaat para siswa dan rakyat amnya.

KPT akan terus komited memastikan setiap projek dan program pembangunan dilaksanakan secara cekap, berimpak tinggi dan memberi nilai terbaik kepada seluruh warga kampus dan juga rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI serta matlamat Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2030 (RPTM 2026–2030).

Mesyuarat turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBrs. Dr. Shamsuri Abdullah; serta pegawai-pegawai kanan KPT.

  • Last updated on .
  • Hits: 146
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 31 Julai 2026, 10:01:11.

logo-sirim