Kunjungan Hormat UIAM Perkukuh Kerjasama Strategik dan Tadbir Urus

Kunjungan Hormat UIAM Perkukuh Kerjasama Strategik dan Tadbir Urus

29 Julai 2026 I Putrajaya

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang diketuai oleh Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman bin Bakar telah mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim sebagai tanda penghargaan dan mengucapkan tahniah atas pelantikan beliau menerajui pentadbiran Kementerian.

Kunjungan ini turut menjadi platform memperkenalkan barisan kepimpinan tertinggi UIAM beserta portfolio masing-masing, di samping berkongsi perkembangan semasa universiti termasuk persediaan sesi “Onboarding” Ahli Lembaga Gabenor baharu. Perkongsian tersebut merangkumi aspek tadbir urus, mandat serta hala tuju strategik universiti dalam memperkukuh kecemerlangan institusi.

Delegasi UIAM turut membincangkan secara umum kedudukan kewangan, keperluan pembangunan dan keutamaan strategik universiti yang memerlukan perhatian serta sokongan KPT bagi memastikan agenda pembangunan pendidikan tinggi dapat dilaksanakan secara mampan dan berimpak.

Dalam sesi tersebut, Ketua Setiausaha KPT turut berkongsi pandangan, nasihat dan harapan terhadap hala tuju UIAM, khususnya dalam memperkukuh tadbir urus, memperkasa pembangunan institusi serta mempererat hubungan strategik antara KPT dan UIAM demi memacu kecemerlangan pendidikan tinggi negara.

Kunjungan ini menjadi cerminan iltizam bersama KPT dan UIAM untuk terus memacu transformasi pendidikan tinggi melalui kepimpinan yang berwibawa, tadbir urus yang progresif serta keputusan strategik yang mampu mencorakkan masa depan institusi dan melahirkan generasi berilmu yang memberi nilai kepada negara serta masyarakat sejagat.

  • Last updated on .
  • Hits: 100
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 31 Julai 2026, 10:01:11.

logo-sirim