Memeta Hala Tuju Pendidikan Tinggi Menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPPTM) 2026-2035

Memeta Hala Tuju Pendidikan Tinggi Menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPPTM) 2026-2035

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir pada petang tadi telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 (PPPTM 2026-2035).

Mesyuarat ini merupakan platform kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi mengumpulkan Kumpulan Pakar untuk membentangkan gambaran ringkas mengenai ‘Brief Overview of Blueprint Development’ yang merangkumi aspirasi nasional baharu PPPTM 2026-2035 yang akan memfokuskan kepada beberapa lonjakan utama antaranya adalah ‘High Performance Talent with Purpose’ dalam menetapkan hala tuju pendidikan tinggi negara masa hadapan, selaras dengan aspirasi negara dan keperluan pasaran kerja.

Kumpulan Pakar tersebut dipengerusikan oleh YBhg. Profesor Emerita Datuk Dr Asma Ismail dan dianggotai 50 orang ahli mesyuarat yang terdiri daripada pengurusan tertinggi Kementerian dan IPT, tokoh konglomerat, pemain industri utama negara dan pakar rujuk.

KPT sedang merangka dokumen hala tuju pendidikan tinggi yang baharu bagi menggantikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) atau PPPM(PT) 2015-2025 yang akan tamat tempohnya pada tahun hadapan.

KPT turut akan melaksanakan sesi libat urus dengan para pemegang taruh dan kumpulan sasar bagi mengumpul maklumat serta pandangan semua pihak supaya dokumen yang dibangunkan bersifat menyeluruh dan inklusif.

Dalam pada itu, satu Tinjauan Nasional juga sedang dilaksanakan bagi mendapatkan maklum balas awam yang ingin menyumbang idea dan pandangan dalam penghasilan PPPTM 2026-2035 di pautan https://forms.gle/fG3JpxF4zSWk4uEh7.

Kementerian yakin dengan sinergi pihak berkepentingan melalui sumbangan idea, pelan ini akan menghasilkan strategi berimpak tinggi dan berkesan bagi memacu landskap pendidikan tinggi negara ke tahap yang lebih tinggi. 

Hadir sama Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang serta barisan pengurusan tertinggi Kementerian, Jabatan dan agensi. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1991
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim