Majlis Penganugerahan Biasiswa Endowmen Universiti Teknologi MARA (UiTM)
YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, hari ini telah menyempurnakan Majlis Penganugerahan Biasiswa Endowmen Universiti Teknologi MARA (UiTM) kepada 54 orang yang terdiri daripada pelajar ijazah sarjana muda dan pascasiswazah.Dana biasiswa ini diperoleh melalui tabung amanah yang ditubuhkan atas nama Kumpulan Wang Endowmen UiTM yang juga merupakan dana hasil sumbangan korporat, alumni dan orang persendirian kepada UiTM untuk membantu pelajar cemerlang melanjutkan pengajian. Biasiswa Endowmen UiTM ini merupakan satu inisiatif universiti bagi membantu pelajar cemerlang mendapat peluang pendidikan melalui pemberian bantuan kewangan secara lestari.Pemberian biasiswa kepada pelajar cemerlang ini adalah antara pendekatan agresif UiTM untuk menjadi universiti terkemuka dunia menjelang tahun 2025 sejajar dengan Pelan Perancangan Strategik Universiti 2025. Biasiswa Endowmen UiTM ini terbuka kepada pelajar cemerlang dengan pencapaian sekurang-kurangnya HPNG 3.50 bagi pelajar tempatan, manakala 3.75 untuk pelajar antarabangsa.Para pelajar yang memohon perlu melalui 2 saringan awal termasuk sesi temuduga yang telah dijalankan pada bulan November yang lalu. Sepanjang pembiayaan ini, para pelajar akan diberikan elaun bulanan, yuran pengajian dan perbelanjaan yang diperlukan.Pada majlis tersebut juga, Yayasan Aras telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM5 juta kepada Tabung Endowmen UiTM.Turut hadir Datuk Seri Dr Mazlan Yusoff, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Dato’ Sri Haji Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, Pengerusi LPU UiTM, Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim, Naib Canselor UiTM dan Dato’ Azizul Rahman Abd Samad, Pengerusi Yayasan Aras.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 7491