Majlis Pelancaran MSU 2021 International Fashion Collection dan Lawatan Kerja ke Management & Science University (MSU), Shah Alam

YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, hari ini telah mengadakan lawatan kerja ke Management & Science University (MSU), di Shah Alam, dan diberi penghormatan untuk menyempurnakan Majlis Pelancaran MSU 2021 International Fashion Collection.

MSU 2021 International Fashion Collection merupakan projek kolaborasi seni dan fesyen MSU dengan rakan institusi antarabangsa dari negara Jepun yang melibatkan dua projek utama para pelajar Program Senireka Fesyen dari School Of Hospitality & Creative Arts (SHCA), MSU.

Projek pertama adalah “msu xtrea sukura” bersama pereka fesyen Mr. Tetsuya Mizutani, pengasas Treasurekura, Jepun yang merekacipta produk pelitup muka edisi khas yang berciri unik, berkualiti dengan gaya eksklusif menggunakan motif dan fabrik Kimono.

Manakala koleksi fesyen kedua, iaitu MSU-UEDA GAKUEN OSAKA merupakan produk koleksi fesyen daripada pelajar MSU sendiri, yang direkacipta untuk persiapan bagi penglibatan dalam pertunjukan fesyen tahunan di Osaka Jepun bersama UEDA College of Fashion.

Selain itu, YB Menteri turut dibawa melawat MSU Medical Centre (MSUMC) yang terletak bersebelahan dengan kampus induk MSU. MSUMC menawarkan kemudahan serba canggih dan moden memfokuskan empat tumpuan utama iaitu pesakit dalam dan luar negara, korporat serta pelajar. Pusat perubatan ini turut menyediakan enam bilik pembedahan, lima bilik ICU (Unit Rawatan Rapi), enam bilik bersalin, kemudahan perkhidmatan rawatan mata dan pergigian serta klinik pakar

Turut hadir, Prof. Tan Sri Dato’ Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid, Presiden, MSU, Prof. Puan Sri Datuk Dr Junainah Abd Hamid, Naib Canselor, Management & Science University MSU, dan Prof Dato’ Dr Husaini Omar, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 8439
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 14 Jun 2024, 19:20:56.