Majlis Anugerah Gemilang Pelajar Politeknik Dan Kolej Komuniti (POLYCC) Tahun 2023

Majlis Anugerah Gemilang Pelajar Politeknik Dan Kolej Komuniti (POLYCC) Tahun 2023

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah menganjurkan Majlis Anugerah Gemilang Pelajar POLYCC 2023 yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir malam tadi.

Majlis yang telah memasuki edisi ke-2 penganjurannya dan dikelolakan bersama dengan Politeknik Banting (PBS) dan Kolej Komuniti Hulu Langat (KKHL) ini bertujuan memberi pengiktirafan kepada pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) yang telah menunjukkan pencapaian cemerlang dalam aktiviti pembangunan sahsiah di institusi bagi melahirkan insan yang holistik bukan sahaja dalam bidang akademik malah dalam aspek kepimpinan, sukan, kebudayaan, kesukarelawanan, inovasi, keusahawanan, pengucapan awam dan kemahiran.

YB Menteri dalam ucapannya berkata, jika dahulu mungkin ramai menganggap politeknik dan kolej komuniti adalah pilihan kedua, ketiga mahupun terakhir.

Namun hari ini, persepsi ini sedikit sebanyak telah pun berubah seraya melihat kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh POLYCC serta keupayaan menawarkan program berimpak tinggi menjadi perhatian.

"Kita harus proaktif memberikan kesedaran kepada masyarakat dengan memaksimakan usaha ke arah memperbaiki diri sekaligus memberi nilai tambah terhadap pelbagai aspek untuk terus memperkasa TVET di peringkat nasional dan antarabangsa," tambahnya.

Terdahulu, sebanyak 18 anugerah dipertandingkan dan setiap penerima bagi kategori yang dipertandingkan membawa pulang piala anugerah, wang tunai, hadiah iringan sumbangan agensi luar serta sijil penghargaan.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, YBrs. Encik Mohamad Azhan Md. Amir; Ketua Pengarah JPPKK, YBrs Dr. Haji Mohd Zahari Ismail; dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), YBrs. Profesor Dr. Azlinda Azman. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1643
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim