Lawatan YB Menteri ke Politeknik Sandakan
22 Januari 2022
Seusai lawatan ke UMS Sandakan hari ini, YB Menteri Pengajian Tinggi dan pengurusan tertinggi KPT berkesempatan melawat Politeknik Sandakan.
Politeknik Sandakan yang beroperasi di Education Hub di atas sebidang tanah berkeluasan 100 ekar sejak Disember 2011 itu, menawarkan program Diploma Agroteknologi dan Diploma Akuakultur.
Dalam lawatan tersebut, YB Menteri telah diberikan penerangan oleh pengarahnya, Tuan Haji Mohd Faddilah Mohd Yusoh, di samping dibawa meninjau fasiliti di Galeri Akuarium dan Pusat Penyelidikan Ikan (GAPPI).
GAPPI ditubuhkan dengan peranan untuk memberi maklumat serta input berasaskan kajian dan inovasi mengenai Teknologi Akuakultur kepada pelajar dan komuniti setempat.
Ia juga aktif menjalankan aktiviti berkaitan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dalam bidang akuakultur dan bio-industri yang merangkumi teknologi hatceri; penghasilan benih dan pembesaran; remidiasi kualiti air; serta penjagaan kesihatan dan pemakanan.
GAPPI juga menawarkan khidmat nasihat dan konsultansi serta latihan dalam bidang akuakultur dan bio-industri serta mempromosi kesedaran awam berkenaan pemuliharaan alam sekitar dan kualiti air.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 5684