Lawatan YBM ke PPV Bergerak Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM di Bagan Datuk

YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi hari ini telah mengadakan lawatan ke PPV Bergerak Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM di Bagan Datuk, Perak.

PPV Bergerak di Bagan Datuk ini telah bermula pada 13 September lalu dengan melalui dua kaedah penyampaian iaitu melalui PPV satelit di Dewan Perdana Bagan Datuk; atau melalui kaedah jangkau luar seperti lawatan ke rumah penerima-penerima yang terlantar sakit, warga emas dan golongan OKU yang tiada kemampuan fizikal dan mental untuk hadir ke PPV.

PPV Bergerak ini merupakan inisiatif untuk menyediakan akses yang lebih luas kepada masyarakat luar bandar mendapatkan vaksin, terutamanya bagi mereka yang masih belum mendaftar untuk vaksinasi di bawah PICK atau pun belum menerima tarikh temujanji melalui aplikasi MySejahtera.

YB Menteri turut menyertai Program Walkabout Sentuhan Kasih Mahasiswa @ KPT Prihatin hari ini yang melibatkan tiga orang pelajar daripada UPSI.

Para pelajar ini disantuni melalui penyerahan tawaran wang pendahuluan pinjaman (WPP) PTPTN dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Pihak UPSI turut menyampaikan pelbagai sumbangan lain berupa bantuan pelan data, komputer riba dan wang saku bagi meringankan beban mereka dan juga meningkatkan motivasi untuk terus berjaya dalam pengajian masing-masing.

Turut hadir YB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Ahli Parlimen Bagan Datuk, Dr. Mohd Zabri Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Prof. Dato' Dr Husaini Omar, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dato' Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman, Naib Canselor UKM dan Dato' Prof. Dr. Md Amin Md Taff, Naib Canselor UPSI.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 7536
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 Julai 2024, 02:51:53.