KSU KPT Rasmikan Dialog CTEF 2025
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim telah merasmikan Dialog Kemudahan Pendidikan Tinggi Komanwel (Commonwealth Tertiary Education Facility, CTEF) 2025 di Dewan Za’ba, KPT, semalam.
Dialog ini memberi tumpuan kepada kerjasama antarabangsa dalam pembinaan kapasiti, penilaian cabaran global baharu dan pencarian model perkongsian yang mampan dalam kalangan negara Komanwel.
Program menghimpunkan Atase Pendidikan negara Komanwel di Malaysia, pegawai KPT, agensi di bawah KPT serta wakil Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta.
Antara pengisian utama ialah perkongsian peluang kerjasama pendidikan tinggi Malaysia bersama negara Komanwel, selain sesi dialog dan perbincangan meja bulat mengenai masa depan pendidikan tinggi serantau.
Perbincangan menegaskan pentingnya kerjasama yang adil, lestari dan sensitif konteks setempat, seiring pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan 4 mengenai Pendidikan Berkualiti (SDG 4) dan Matlamat Pembangunan Mampan 17 mengenai Perkongsian Global (SDG 17).
Hasil dapatan akan dirumus dalam laporan dan syor dasar oleh CTEF untuk dibentangkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan Komanwel (Commonwealth Conference of Education Ministers, CCEM) akan datang.
KPT bersama CTEF menegaskan komitmen memperkukuh kerjasama serantau demi mendorong transformasi pendidikan tinggi dan manfaat bersama di peringkat global.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 593