KPT Rai 201 Pesara Dalam Majlis Jasamu Dikenang

KPT Rai 201 Pesara Dalam Majlis Jasamu Dikenang

"Sumbangan serta dedikasi para pesaralah yang telah memacu dan memeta kejayaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sehingga kini.

Maka, selayaknyalah kesemua 201 orang pesara ini kita raikan, kerana mereka sepanjang perkhidmatannya telah mengabdikan diri untuk kesejahteraan rakyat dan juga kemakmuran negara".

Ungkap Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, YBhg. Datuk Mohamad Azhan Md Amir sebagai menghargai para pesara yang hadir dalam Majlis Jasamu Dikenang malam tadi.

Menurutnya, majlis tersebut bukan sahaja sebuah apresiasi khas bagi mengiktiraf jasa dan sumbangan para pesara untuk tahun ini, malah peluang untuk sesama mereka mengutip kenangan serta mengimbau nostalgia.

Ujar beliau, sumbangan mereka selama ini boleh ditamsil ibarat bunga yang sedang berkembang dan mengharum.

"Sumbangan dan jasa bakti yang dicurahkan oleh insan-insan yang kita raikan pada malam ini begitu bermakna, bukan sahaja kepada kementerian, tetapi juga kepada dunia pendidikan tinggi negara, sedari dulu, masa kini dan juga untuk generasi akan datang".

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan mereka untuk kekal berwaspada dengan ancaman ‘scammer’ yang sentiasa menjadikan golongan pesara sebagai sasaran.

Mewakili warga KPT yang lain, beliau turut mendoakan agar semua para pesara sentiasa dalam keadaan sihat sejahtera dan diberkati oleh Allah SWT dalam mengharungi alam berpencen.

"Kalau dulu, ada yang bekerja dari subuh hingga ke dinihari, hingga ada yang tidak berkesempatan berjumpa keluarga, maka, sekarang manfaatkanlah masa dan ruang yang ada", tambah beliau.

Hadir sama TKSU (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dato' Dr. Haji Mohd Zahari Ismail; dan Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Prof. Dr. Harshita Aini Haroon.

Terima kasih kepada semua para pesara KPT 2024. Jasamu dikenang. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1128
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 13 Februari 2025, 07:17:37.

logo-sirim