KPT Perkukuh Hubungan Bersama Media Hadapi ASEAN 2025 Dan PMR 2025 Perak

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir tengah hari tadi telah menjayakan 'Sesi Taklimat YB Menteri Bersama Ketua-ketua Pengarang Media' bersama barisan Pengarang Kumpulan, Editor Kanan dan wakil media di pejabatnya.
Sesi bersemuka ini diadakan sebagai platform strategik untuk memperkukuh hubungan dua hala antara KPT dan pengamal media, selain membuka ruang perbincangan terbuka mengenai pelbagai inisiatif utama Kementerian yang bakal dilaksanakan dalam masa terdekat.
Dua (2) program utama yang akan menjadi tumpuan KPT dalam minggu-minggu mendatang adalah Persidangan Meja Bulat Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN (ASEAN Ministers of Education and Higher Education Roundtables) yang dijadual berlangsung pada 18 dan 19 Jun 2025 di Langkawi sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 serta penglibatan KPT sebagai Kementerian peneraju bagi Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Peringkat Negeri Perak yang akan berlangsung dari 13 hingga 15 Jun 2025.
Dalam kesempatan tersebut, para pengamal media turut mengambil peluang mendapatkan pandangan dan respons YB Menteri berhubung pelbagai isu serta perkembangan semasa sektor pendidikan tinggi negara, termasuk langkah memperkukuh kerjasama antarabangsa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) serta peranan aktif KPT dalam mendekati masyarakat melalui pelbagai inisiatif berteraskan rakyat.
Pada masa yang sama, YB Menteri turut mengangkat peranan penting media sebagai rakan strategik Kerajaan dalam menyampaikan dasar dan aspirasi pendidikan tinggi kepada masyarakat secara berkesan, telus dan bertanggungjawab.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Mohamad Azhan Md Amir dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 187