YB Menteri Seru Warga KPT Nilai Semula Pencapaian Separuh Penggal, Perkuat Kerja Berkumpulan Capai Hala Tuju Kementerian

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meneruskan komitmen memperkasa sektor pendidikan tinggi negara dengan melaksanakan penilaian separuh penggal terhadap keseluruhan dasar serta program strategik yang telah dirancang bagi tahun 2025.
Justeru, YB Menteri Pendidikan Tinggi turut menyeru warga Kementerian untuk menilai semula rancangan kerja separuh tahun masing-masing dan perkuatkan semangat berpasukan agar segala hala tuju yang dirancang dapat dicapai secara kolektif.
YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menegaskan hal yang demikian dalam ucapannya di Majlis Perhimpunan Bulanan KPT yang berlangsung di Dewan Za’ba petang tadi.
Menurut beliau, Kementerian telah mengadakan sesi permukiman bersama kepimpinan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) untuk menilai pencapaian terhadap tujuh (7) fokus utama, termasuk penyediaan bakat negara, kewibawaan akademia, pengantarabangsaan, kemampanan kewangan dan lain-lain lagi.
Tegasnya, penilaian tidak seharusnya bersandarkan angka semata-mata, sebaliknya perlu mencerminkan keberkesanan sebenar pelaksanaan dasar.
Tambah beliau lagi, ketampakan KPT semakin menyerlah menerusi pelaksanaan tiga (3) program berimpak tinggi iaitu Festival of Ideas (FOI), Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) dan program audio siar TELAAH yang memfokuskan usaha untuk memperkukuh budaya ilmu dan diskusi ilmiah dalam masyarakat.
Terdahulu, majlis turut diserikan dengan syarahan bertajuk "Thought Leadership in the Age of Disruption" oleh Dr. Khairudin Aljunied, Felo Chair of Islam in Southeast Asia and Professorial, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Sebelum mengakhiri ucapan, YB Menteri menzahirkan rasa dukacita terhadap insiden kemalangan bas di Gerik semalam dan turut mengajak para hadirin untuk menghadiahkan pahala bacaan al-Fatihah kepada kesemua 15 orang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 171