KPT Perkasa Reformasi Pendidikan Tinggi Hadapi Cabaran Pasaran Kerja 2030

KPT Perkasa Reformasi Pendidikan Tinggi Hadapi Cabaran Pasaran Kerja 2030

“Dunia sedang berubah, teknologi berkembang pesat dan kita mesti menyediakan graduan dengan kemahiran masa depan.”

Demikian tegas Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir ketika merasmikan Karnival Kerjaya Nasional KPT 2025 pagi tadi, menyentuh realiti baharu pasaran kerja global yang memerlukan sistem pendidikan tinggi negara diselaraskan semula dengan segera dan menyeluruh.

Beliau memetik Laporan World Economic Forum (WEF) yang menyatakan bahawa sebanyak 92 juta jenis pekerjaan dijangka akan pupus menjelang 2030, namun dalam masa yang sama, 170 juta peluang pekerjaan baharu dijangka wujud. Justeru, katanya, adalah menjadi tanggungjawab bersama antara Kerajaan, institusi pendidikan dan industri untuk memastikan anak muda dibekalkan dengan kemahiran yang relevan dan terkini.

Karnival dua (2) hari anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur sebagai platform padanan strategik antara graduan dan lebih 100 syarikat berprofil tinggi daripada pelbagai sektor utama negara.

YB Menteri turut menyampaikan mesej penting agar semua pihak tidak terus berpegang kepada pendekatan lama dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada belia. “Kita tidak boleh lagi melihat pekerjaan seperti dahulu,” tegas beliau. Sebaliknya, beliau menekankan keperluan pendekatan bersama yang lebih menyeluruh antara kerajaan, industri dan komuniti pendidikan tinggi seperti digariskan menerusi model hubungan lingkaran empat pihak (quadruple helix) .

Majlis turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman antara KPT dengan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) Malaysia serta Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL). Kerjasama ini dijangka memperluas peluang latihan industri, pensijilan profesional dan pembangunan kemahiran dalam bidang perakaunan serta pengangkutan rel.

Sebagai sokongan kepada pelaksanaan tersebut, turut berlangsung penyerahan cek cura inisiatif Program Tauliah Industri Dan Profesional (KPTiP)

bernilai lebih RM13 juta kepada tiga (3) rakan pelaksana iaitu The Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT) Malaysia, ACCA Malaysia dan MRL bagi menjayakan program pembangunan kemahiran dan latihan profesional melibatkan 23 buah Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) seluruh negara.

Dalam majlis yang sama, Talentbank turut menyerahkan sumbangan 25,000 naskhah e-book Career Playbook yang akan diedarkan secara percuma kepada pelajar IPTA, menyokong inisiatif literasi kerjaya dan bimbingan awal kepada graduan baharu.

Lebih membanggakan, karnival ini turut menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records sebagai “The Largest Employer Participation in Career Fair di Malaysia”, sekali gus memperkukuh kedudukan KPT sebagai peneraju inisiatif strategik kebolehpasaran graduan negara.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Fazidah Mustafa; serta Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 280
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Selasa 15 Julai 2025, 07:22:36.

logo-sirim