KPT – Muhammadiyah Indonesia Tubuh Jawatankuasa Bersama Bangunkan Keupayaan Pembangunan Pendidikan Tinggi

KPT – Muhammadiyah Indonesia Tubuh Jawatankuasa Bersama Bangunkan Keupayaan Pembangunan Pendidikan Tinggi

YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi semasa Lawatan Kerja ke Republik Indonesia hari ini telah mengadakan pertemuan dengan Prof. Dr. K.H Haedar Nashir, Ketua Umum Pimpinan Pusat Muhammadiyah Indonesia di Pejabat Muhammadiyah Indonesia, Jakarta.

Kunjungan delegasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini bertujuan mengukuhkan kerjasama strategik sektor pendidikan tinggi Malaysia dan Indonesia melalui Muhammadiyah Indonesia. Selain itu, kunjungan ini bertujuan menzahirkan penghargaan Malaysia atas penubuhan universiti cawangan Muhammadiyah Malaysia di Perlis.

Impak institusi pengajian Islam sangat besar dalam membangunkan masyarakat yang berstatus ulama, cendekiawan serta teknokrat Muslim yang disegani. Sistem pengajian Islam perlu sentiasa proaktif dalam mengetengahkan kurikulum yang berkualiti dan interaktif bagi memastikan perkembangan pengajian Islam adalah selari dengan tuntutan zaman dan berupaya meningkatkan kebolehpasaran siswazah Muslim di peringkat global.

Pelbagai perkara telah dibincangkan dalam pertemuan tersebut. Antaranya:

(a) Malaysia mengalu-alukan kerjasama antara universiti-universiti di Malaysia dan institusi pendidikan tinggi di bawah kelolaan Muhammadiyah terutama dalam aspek pertukaran pensyarah dan pelajar, program penyelidikan dalam bidang sains dan teknologi, pembangunan kapasiti serta penghantaran pensyarah Muhammadiyah ke Malaysia untuk melanjutkan pelajaran di peringkat PhD.

(b) Kedua-dua pihak bersetuju untuk membentuk satu jawatankuasa bersama bagi meneliti perkara-perkara yang telah dibincangkan, seterusnya membolehkan matlamat-matlamat yang ingin dicapai oleh kedua-dua belah pihak dapat direalisasikan.

Turut hadir pada mesyuarat ini adalah TYT Dato' Syed Md Hasrin bin Tengku Hussin, Duta Besar Malaysia ke Indonesia; YBrs. Prof. Dr. Azlinda binti Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi; YBhg. Dato' Profesor Dr. Mohammad Shatar bin Sabran, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia; YBrs. Dr. Abdul Razak bin Ahmad, Pengerusi Education Malaysia Global Services; Tuan Novie bin Tajuddin, Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global Services.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2789
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 09 Oktober 2024, 08:12:06.

logo-sirim