KPT Komited Memasyarakatkan Universiti Melalui UMCares@Sepanggar

KPT Komited Memasyarakatkan Universiti Melalui UMCares@Sepanggar

Universiti Malaya (UM) terus memperkukuh peranannya sebagai universiti prihatin masyarakat melalui pelaksanaan program UMCares@Sepanggar di Balai Raya Kampung Bambangan, Inanam, Sabah.

Program yang dianjurkan bersama Pusat Khidmat Parlimen Sepanggar ini menjadi wadah menghubungkan universiti terkemuka negara dengan komuniti luar bandar.

Program dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, yang menegaskan bahawa inisiatif sebegini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memasyarakatkan universiti, agar ilmu dan kepakaran akademik turut memberi manfaat terus kepada rakyat.

“Melalui UMCares, UM bukan hanya hadir sehari di kampung, tetapi berhasrat menjalin kerjasama jangka panjang dengan komuniti bagi melaksanakan saringan kesihatan dan kajian tumbesaran secara berterusan. Usaha ini penting bagi memahami isu kesihatan, pemakanan dan kesejahteraan masyarakat tempatan,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan menangani masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak melalui intervensi nutrisi dan pendidikan kesihatan yang lebih menyeluruh. Katanya, inisiatif ini membuktikan keupayaan universiti berperanan aktif dalam memperkasa kesejahteraan rakyat melalui penyelidikan berasaskan bukti.

Dalam pada itu, YB Datuk Ts. Mustapha mengajak masyarakat Sepanggar menjadikan UM selaku universiti ke-58 terbaik dunia dan alma mater kepada Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai sumber inspirasi untuk berjaya dalam pendidikan.

Beliau turut memaklumkan bahawa pelajar dari kawasan ini yang berjaya ke universiti boleh memohon bantuan pendidikan di bawah Parlimen Sepanggar, di samping peluang mengikuti tuisyen percuma SPM yang masih diteruskan.

Program UMCares@Sepanggar yang berlangsung meriah dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat ini menjadi simbol kesepaduan antara universiti dan komuniti, sekaligus memperlihatkan komitmen KPT dalam menjadikan pendidikan tinggi sebagai pemangkin pembangunan insan dan kesejahteraan negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UM, Prof. Ir. Dr. Kaharudin Dimyati; Timbalan Naib Canselor (Akademik) UM; Prof. Dr. Hasniza Zaman Huri; serta Pengerusi Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga Kampung Bambangan, Lea Ajis. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 71
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 24 Oktober 2025, 04:17:19.

logo-sirim