KPT Hargai Peranan Rakan Strategik Jayakan "Jom Masuk U" Sejak 2005
Sejumlah 50 ribu orang pengunjung JMU 2023 dari 5 zon penganjuran sehingga kini membuktikan betapa program "signature" Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sejak tahun 2005 ini berjaya mencapai sasarannya sebagai pusat sehenti yang menawarkan pelbagai informasi serba lengkap memasuki gerbang pendidikan tinggi negara.
Berucap merasmikan JMU 2023 bagi Zon Timur di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) semalam, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, YBhg. Datuk Dr. Mohd. Zabri Yusoff turut merakamkan penghargaan kepada para rakan strategik KPT yang memungkinkan kejayaan siri jerayawara ini.
Antaranya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang melalui para kaunselor, guru sekolah dan juga pejabat pendidikan negeri masing-masing telah menghebahkan kebaikan JMU 2023 bukan sahaja kepada para pelajar tetapi juga kepada ahli komuniti di luar sana.
Selain itu, beliau turut berkongsi statistik tahun ke tahun kemasukan UPUOnline yang menunjukkan ramai calon masih keliru sehingga tersilap memilih program pengajian berdasarkan kelayakan masing-masing.
Ini menyebabkan ada antara mereka terpaksa melupakan hasrat ke Institusi Pendidikan Tinggi kerana risau tidak mampu menamatkan pengajian atau tiada peluang di pasaran kerja kelak.
Justeru, beliau menyeru para lepasan SPM yang akan diumumkan keputusannya minggu hadapan untuk memanfaatkan JMU 2023 di Zon Timur yang akan berakhir hari ini serta menjemput yang berada di Selangor, Kuala Lumpur dan berhampiran untuk ke JMU 2023 Zon Tengah yang akan diadakan di Universiti Malaya bermula hari ini hingga esok.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Penyelidikan dan Antarabangsa) Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), KPT, YBrs. En. Ahmad Rizal Adnan; Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), YBhg. Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar; dan Pengarah, Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA) JPT KPT, Encik Wahi Nordin.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 3423